Staff Access
  Search
   
  MEDIA CENTRE
   
 

 
Latest News
 
 
 
 
  1, 396 PENUNTUT PSIS TERIMA DIPLOMA, SIJIL
       
 

Diterbitkan: 2010/5/05 – Utusan Malaysia

SABAK BERNAM 4 Mei - Seramai 1,396 orang pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) di sini menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis konvokesyen ke-5 politeknik tersebut di sini baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada 748 graduan diploma dan 648 penerima sijil dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional.

Penyampaian diploma dan sijil pada sidang pertama disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd., Tan Sri Rozali Ismail manakala sidang kedua oleh Ketua Eksekutif, Hotel Singgahsana Petaling Jaya, Rohizan Zainal.

Pengarah Politeknik PSIS, Dzulkifli Ismail dalam ucapannya berkata, konvokesyen yang berlangsung itu bukanlah majlis yang mengakhiri tanggungjawab seseorang penuntut tetapi hanya satu penghargaan kerana berjaya menamatkan pengajian.

Malah, tegasnya, apa yang lebih penting ialah para penuntut dapat memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh dengan menterjemahkannya kepada usaha yang membawa manfaat kepada bangsa, agama dan negara.

"Mengikut kajian tahun lalu, kira-kira 98.9 peratus pelajar PSIS berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh kurang daripada enam bulan selepas tamat pengajian, sekali gus membuktikan penuntut politeknik mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi bukan sahaja di sektor swasta malah di sektor awam.

"Ini juga membuktikan PSIS menjadi medan untuk melahirkan tenaga kerja separa profesional yang berkualiti bagi menampung keperluan di sektor awam dan swasta di Malaysia," katanya.

Dzulkifli menambah, bagi terus menjadi pembekal tenaga kerja separa mahir yang berkualiti, PSIS kini turut menawarkan kursus yang relevan dengan kehendak semasa seperti bidang kejuruteraan alam sekitar, perhotelan, pelancongan dan komunikasi.

Jelasnya, PSIS juga melaksanakan dan mengendalikan kursus sepenuh masa kepada pihak luar di bawah Time Sector Privatisation (TSP), untuk menggunakan sumber dan fasiliti di situ bagi tujuan mendapatkan latihan dan pendidikan dengan kadar bayaran yang berpatutan.

Beliau berkata, dalam majlis konvokesyen tersebut, seramai lima penuntut menerima Anugerah Pengarah kerana cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan kemasyarakatan.

Antara mereka ialah Siti Khadijah Mohd. Zaki penuntut Diploma Kejuruteraan Elektrik yang memperoleh pencapaian Himpunan Purata Nilai Markah (HPNM) 3.75, Siti Nazrin Azman, Sijil Pemprosesan Data (HPNM 3.96) dan Mohammad Suffian Mohd. Nor, Diploma Kejuruteraan Awam (HPNM 3.91).

 

   
 

 

     
  Copyright © 2009
PUNCAK NIAGA HOLDINGS BHD All Rights Reserved.  
Disclaimer
 
Last updated :