Staff Access
  Search
   
  MEDIA CENTRE
   
 

 
Latest News
 
 
 
 
  50,000 LITER AIR BANTU MANGSA GEMPA 10,000 BOTOL AIR
       
 

Diterbitkan: 2009/10/07 – Utusan Malaysia

SHAH ALAM 6 Okt. - Puncak Niaga Holdings Bhd. (PNHB) dan Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAn) menghantar 10,000 botol air minuman bersamaan 50,000 liter air bagi membantu mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia.

Pengerusi Eksekutif PNHB dan SWAn, Tan Sri Rozali Ismail berkata, setiap botol seberat lima liter itu diharap mampu meringankan beban penduduk di sana yang kini menghadapi kesukaran memperoleh bekalan air bersih.

Katanya, bekalan air bersih itu dijangka tiba secara berperingkat mulai minggu ini.

Menurutnya, usaha itu dilakukan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi pengangkutan yang disediakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"PNHB dan SWAn sentiasa mempunyai 20,000 botol air untuk stok kecemasan untuk dihantar pada bila-bila masa sahaja apabila diperlukan.

"Bantuan ini akan membantu semua mangsa gempa bumi mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan harian," katanya kepada di sini melepas majlis mengumpulkan kesemua 10,000 botol air itu di Wisma Rozali di sini hari ini.

Malah, Rozali memberi jaminan bahawa PNHB juga bersedia untuk menghantar loji pembersih air ke Padang jika diperlukan untuk membuat demikian dengan keupayaan memproses 50,000 liter air pada satu-satu masa.

Selain itu, katanya, sekitar 20 kakitangan teknikal syarikat itu termasuk jurutera juga bersedia ke wilayah tersebut bagi membantu memulihkan sistem air dan memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih sepanjang masa.

Sementara itu, mengulas sikap segelintir penduduk Indonesia yang melancarkan sentimen anti-Malaysia, Rozali memberitahu, ia tidak menjejaskan penghantaran bantuan kemanusiaan dari negara ini seperti yang dilakukan oleh PNHB dan SWAn.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku mungkin didalangi oleh pengaruh luar yang tidak diketahui apa sebabnya untuk mendatangkan kebencian Indonesia terhadap Malaysia.

"Pada saya, kita sudah berjiran terlalu lama dan Indonesia ini jiran kita sama seperti negara Asia yang lain," ujarnya.

Beliau berkata, walaupun wujud persengketaan dan tanggapan negatif sesetengah pihak tetapi apabila berlaku bencana alam, maka bantuan kepada mereka yang menjadi mangsa mesti disalurkan termasuk tenaga manusia.

 

   
 

     
  Copyright © 2009
PUNCAK NIAGA HOLDINGS BHD All Rights Reserved.  
Disclaimer
 
Last updated :