Diterbitkan: 2010/05/05 – Berita Harian
PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) amat tertarik dengan usaha dijalankan syarikat konsesi air di Selangor iaitu Puncak Niaga dan juga Syabas dengan dokongan erat NGO lain sejak lebih sedekad lalu.
Syarikat terbabit tidak putus-putus menjalankan pelbagai usaha mendidik masyarakat khususnya golongan kanak-kanak dan pelajar agar menghargai sumber air dalam erti kata memelihara kelestariannya. Baru-baru ini berlangsung majlis penubuhan kelab Briged Penyelamat Sungai (BPS) dengan penyertaan 20 lagi sekolah rendah di sekitar negeri itu dilancarkan isteri Perdana Menteri. Mengikut statistik dimaklumkan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga dan Syabas, dengan pengedaran bekalan air yang meningkat di kalangan pengguna air di Malaysia daripada kadar 11,563 juta liter sehari pada 2005 kepada jangkaan 14,879 juta liter sehari pada 2010, maka sepatutnya sumber air bersih dari sungai di negara kita perlu kekal bersih dan lestari.
Malangnya, jumlah sungai kian merosot. Contohnya di Selangor saja, ada 18 sungai tercemar berbanding 14 sungai pada 2005 dan hanya 59 peratus sungai boleh digunakan dan diklasifikasi sebagai selamat.
Kes pencemaran sungai pula kian bertambah iaitu lebih 1,480 kes pada tahun lalu berbanding 796 kes pada 2005. PPIM juga dimaklumkan bahawa antara punca utama mengapa loji pembersihan air di negeri itu kerap ditutup seperti di loji air Salak Tinggi, Sepang (hampir 900 jam pada tahun ini dan lebih 1,100 jam tahun lalu) dan loji rawatan air batu 11 Cheras, adalah kerana tahap pencemaran yang begitu tinggi.
Ia berikutan pencemaran ammonia, pembuangan baja kimia daripada ladang pertanian, bahan buangan ladang ternakan dan ‘leachate’ khususnya dari tapak pelupusan sampah (seperti yang berlaku di tapak pelupusan sampah Bukit Tagar pada 2006 yang mana lebih tiga juta pengguna terjejas akibat Sungai Selangor dicemari ammonia bertahap tinggi) dan juga sisa pepejal seperti sampah sarap, botol kosong, tilam bantal, dan lain-lain yang ada di beberapa batang sungai utama seperti Sungai Selangor, Langat dan lain-lain.
Bagaimanapun, PPIM ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kedua-dua syarikat konsesi air itu kerana sentiasa dapat mengharungi semua permasalahan air dengan tabah dan komitmen tinggi selama ini.
Dalam konteks ini, ingin saya menyeru semua operator bekalan air negeri-negeri lain agar mencontohi langkah dan iltizam dijalankan oleh Puncak Niaga dan Syabas seperti penubuhan kelab Briged Penyelamat Sungai ini agar kepentingan sumber air sentiasa dapat dipulihara pada peringkat sekolah rendah lagi.
Manfaat jangka panjang kebersihan dan kelestarian sumber air di negara kita adalah tanggungjawab kita bersama dan bukan hanya terletak kepada bahu syarikat konsesi dan perbekalan air semata-mata. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing seharusnya sentiasa menjadi amalan kita sepanjang masa.
DATUK NADZIM JOHAN, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia.