Diterbitkan: 2010/1/31 – Sinar Harian
SHAH ALAM - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) dan As-Salihin Trustee Berhad, dilantik ejen zakat oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Majlis menandatangani perjanjian pelantikan dilakukan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) LZS, Sahadan Ishak, Setiausaha Kehormat DPMMS, Othman Ismail dan Ketua Eksekutif As-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed.
Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Yang DiPertua DPMMS, Tan Sri Rozali Ismail.
Mohamad Adzib berkata, kerjasama yang dijalinkan di antara DPMMS dan As-Salihin Trustee Berhad dengan LZS diharap membantu meningkatkan kutipan wang zakat.
"Kerjasama ini juga diharap memberi kesan baik terhadap pengagihan zakat di Selangor termasuklah membantu asnaf membasmi kemiskinan serta memperbaiki taraf hidup mereka supaya bersama-sama membangunkan ekonomi masing-masing," katanya kepada Sinar Harian.
Pelantikan dua organisasi itu menjadikan jumlah keseluruhan ejen kutipan zakat di negeri ini sebanyak 62, termasuklah 13 bank, empat institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 42 firma audit dan cukai serta pejabat pos.
Menerusi pelantikan itu, DPMMS dan As-Salihin Trustee Berhad diberi hak membuat kutipan zakat serta mengadakan kempen di kalangan ahli atau pelanggan masing-masing.
Sehingga kini, RM21.8 juta zakat berjaya dikutip melalui ejen-ejen seperti Bank Islam, Maybank, Al-Rajhi, CIMB Bank, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pada majlis sama, As-Salihin Trustee Bhd menyerahkan wang zakat RM50 ribu kepada LZS.