Diterbitkan: 2010/1/16 – Utusan Malaysia
SHAH ALAM 15 Jan. – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) akan menemui para pemimpin Melayu daripada semua parti termasuk pembangkang bagi membincangkan isu-isu berkaitan bangsa Melayu.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, antara isu yang bakal dibincangkan dalam pertemuan itu ialah kedudukan dan hak keistimewaan peniaga serta usahawan Melayu yang semakin terjejas berikutan dasar yang diamalkan kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, pertemuan yang disertai Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor (Gapums) itu akan turut menyentuh isu perpecahan orang Melayu terutama membabitkan masalah politik dan kedudukan ekonomi mereka yang semakin lemah.
“Kita mahu mendapatkan penjelasan daripada semua pemimpin Melayu tidak kira UMNO, Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), apakah yang mereka boleh lakukan dan akan lakukan dalam mempertahankan hak orang Melayu.
“Ini kerana beberapa dasar yang dibuat kadang kala tidak jelas mengenai di mana kepentingan hak orang Melayu itu diletakkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas DPMMS di sini hari ini.
Menurut Rozali, pertemuan dengan para pemimpin Melayu itu dijangka dilakukan selepas Simposium 1Malaysia anjuran Dewan Pemuda dan Wanita DPMMS pada Mac depan.
Jelas beliau yang juga Penasihat Gapums, ia bagi membolehkan mereka mengumpul resolusi dan mesej serta maklumat yang bakal disampaikan kepada para pemimpin Melayu di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
Dalam pada itu, Rozali memberitahu, mesyuarat jawatankuasa khas yang diadakan hari ini berpendapat kesungguhan institusi raja di Selangor dalam memperjuangkan keharmonian kaum, hak serta keistimewaan Melayu amat disanjung tinggi.