Diterbitkan: 2009/04/30 – Utusan Malaysia
SHAH ALAM 29 April - Kejayaan tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan, Kedah memenangi pingat emas pada Persidangan Antarabangsa Alam Sekitar Joensuu Way 2009 di Helsinki, Finland baru-baru ini membuktikan bahawa generasi muda kini telah menunjukkan keprihatinan tentang betapa pentingnya menangani isu alam sekitar.
Tiga pelajar terlibat yang merupakan anak peneroka ialah Mohd. Kairul Effendi, 17, Som Jad Miniandy, 16, dan Mohammad Fazrel Asraf,15.
Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Malaysia Sdn. Bhd., Tan Sri Rozali Ismail berkata, kejayaan pelajar-pelajar tersebut akan membuka mata orang ramai terhadap usaha memulihara alam sekitar yang bukan sahaja terletak di bahu kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya tetapi juga kerjasama semua masyarakat agar generasi akan datang dapat hidup dalam ekosistem yang sempurna.
"Saya bangga dengan keazaman dan keberanian pelajar-pelajar ini yang terlibat dalam persidangan di peringkat antarabangsa.
"Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada mereka yang juga anak peneroka Felda serta guru sekolah terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rozali memberitahu, Puncak Niaga turut memberi sumbangan sebanyak RM16,000 kepada para pelajar dan guru yang menyertai persidangan yang telah berlangsung 12 April hingga 22 April lalu dengan projek yang dibentangkan mereka iaitu Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air.
Ujar beliau, sumbangan itu merupakan salah satu tanggungjawab korporat Puncak Niaga yang merupakan syarikat merawat air mentah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Sebenarnya kami menyediakan dana RM200,000 setiap tahun untuk membantu pelajar menjalankan penyelidikan terhadap kualiti air dan terlibat dalam usaha memulihara alam sekitar melalui program Kelab Briged Penyelamat Sungai (BPS)," kata beliau.