Staff Access
  Search
   
  MEDIA CENTRE
   
 

 
Latest News
 
 
 
 
  PEMBANGUNAN MAMPAN TAWAR KELEBIHAN
       
 

Diterbitkan: 2009/08/14 – Utusan Malaysia

 KUALA LUMPUR 13 Ogos - Syarikat korporat Malaysia perlu menjadikan laporan pembangunan mampan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan lagi tadbir urus syarikat.

Melaluinya, mereka bukan sahaja menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti, tetapi juga menjadikannya sebagai kelebihan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, Datuk Mohd. Nasir Ahmad berkata, bagi mempromosikan Anugerah Laporan Pengekalan Malaysia ACCA, semua syarikat korporat perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk menonjolkan kebolehan masing-masing.

''Secara purata, tahap tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diamalkan syarikat korporat kini adalah jauh ketinggalan daripada piawaian terbaik di peringkat antarabangsa,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penganugerahan Anugerah Laporan Pengekalan Malaysia ACCA (MaSRA) yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Chor Chee Heung.

Pada majlis itu, UEM Environment Sdn. Bhd. memenangi anugerah utama tersebut.

Malaysian Resources Corporation Bhd. dipilih penerima anugerah Laporan Pencapaian Alam Sekitar, Nestle (M) Bhd. (Laporan Pencapaian Sosial), Puncak Niaga Holdings Bhd., (Laporan Bersepadu di dalam Laporan Tahunan) dan bahagian perladangan Kulim (M) Bhd. dianugerahkan Laporan Kali Pertama Terbaik.

Penganjur menerima kurang penyertaan pada tahun ini iaitu 56 penyertaan berbanding 62 pada tahun.

Menurut Mohd. Nasir, anugerah kali ketujuh itu bertujuan mengiktiraf syarikat serta organisasi yang menyediakan maklumat dan laporan mengenai alam sekitar, sosial atau maklumat pengekalan sepenuhnya.

Tambahnya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, syarikat-syarikat perlu mengambil langkah pengekalan mereka dengan lebih serius lagi termasuk menjaga kebajikan pekerja dan pembekal.

"Selain itu, krisis ekonomi merupakan masa paling sesuai untuk mencari jalan yang lebih kreatif menjimatkan tenaga dan kecekapan kos," jelasnya.

Katanya, melalui anugerah ini ACCA juga mengajar syarikat-syarikat lebih berdisiplin dan telus dalam pentadbiran di samping menggalakkan penulisan laporan syarikat sebagai cara berkomunikasi dengan pemegang saham.

Selain itu ujar Mohd. Nasir, masih banyak syarikat tidak mengamalkan tahap CSR yang terbaik. Katanya, masih banyak ruang lagi untuk syarikat terbabit memperbaiki tahap amalan CSR masing-masing kerana ia masih baru di negara ini.

Mengulas lanjut mengenai penilaian CSR, beliau berkata, pihaknya memfokuskan kepada empat bidang iaitu persekitaran pasaran, tempat kerja, penjagaan alam sekitar dan komuniti.

Katanya, berdasarkan empat bidang itu, laporan berkenaan telah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan amalan CSR di kalangan PLC berada di tahap sederhana.

 

   
 

     
  Copyright © 2009
PUNCAK NIAGA HOLDINGS BHD All Rights Reserved.  
Disclaimer
 
Last updated :