Diterbitkan: 2010/2/2 – Utusan Malaysia
Oleh AMLIR AYAT
TIDAK termaktub di dalam akta, tidak terlulus di Parlimen dan hakimnya tidak berkerusi namun undang-undang alam tidak pernah terabai menghukum pengabainya penuh keadilan. Tiada undang-undang atau hukum di sepanjang zaman semantap undang-undang alam. Ia, dan hukumannya, tidak pernah pudar dek usia.
Dan satu hukum alam yang amat kritikal ialah air adalah sumber kehidupan paling asas.
"Jika kita berbuat dosa kepada Tuhan dan meminta ampun kepada-Nya, Dia akan sentiasa mengampuni kita. Jika kita berbuat salah kepada manusia dan meminta maaf daripadanya, dia mungkin memaafkan kita. Tapi jika kita berbuat salah kepada alam, dia tidak akan memaafkan kita."
Begitulah kata-kata seorang peladang di sebuah negara di Amerika Selatan yang kehilangan harta benda dalam tragedi tanah runtuh dan banjir lumpur akibat penarahan hutan yang melampau yang mengetepikan peranan hutan sebagai kawasan tadahan.
Tiada air, tiada kehidupan. Airlah, kira-kira 3.8 bilion tahun lalu, unsur terawal wujud di bumi. Kemudian, wujudlah udara, aneka flora dan fauna, dan seterusnya manusia. Kesemuanya bergantung antara satu sama lain dalam satu satu jaringan tetapi ditunjangi air sebagai akar kehiduapan. Tidak ada unsur alam yang kemandiriannya tidak berkait dengan air.
Jika kita dapat melaksanakan segala langkah yang mungkin untuk memulihara air, semua sumber alam akan turut terpulihara.
Ingin selamatkan bumi? Memulihara harimau? Melindungi cendawan? Gajah? Mengurangkan pemanasan bumi? Selamatkan air, kualiti dan kuantitinya.
Setiap usaha ke arah pembangunan mampan (pemuliharaan) harus memberikan tumpuan kepada kemampanan air. Untuk memperolehi sumber air yang bersih dan cukup, umpamanya, hutan perlulah diolah secara mampan kerana kemampanan hutan bererti bekalan air yang bersih dan cukup.
Segala kegiatan yang boleh merosakkan kualiti dan kuantiti air seperti penebangan hutan yang tidak terkawal yang menjejaskan ekologinya akan memusnahkan kemampanan sungai, sumber air utama.
Penggunaan hutan secara mampan mensyaratkan pemuliharaan kepelbagaian biologi dari sekecil-kecil bakteria hingga ke gajah. Ini adalah kerana setiap haiwan ini memiliki tempat dan fungsinya yang tersendiri di dalam kesinambungan hutan.
Pendekatan ini boleh mengurangkan konflik di antara pelbagai usaha pemuliharaan yang menumpukan kepada pelbagai sumber alam. Umpamanya, ada yang mengutamakan sesuatu spesies atau kumpulan flora atau fauna, ekosistem atau unsur (seperti cuaca dan perubahannya).
Hal ini adalah wajar selagi ia tidak bercanggah antara satu sama lain. Dan salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk meminimumkan konflik ini adalah dengan melihat kualiti dan kuantiti air sebagai tumpuan utama yang membayangi usaha-usaha tersebut.
Jika tidak, usaha-usaha ini akan sentiasa menghadapi kerumitan malah kegagalan, seperti mana yang berlaku dalam beberapa projek pemuliharaan sama ada oleh kerajaan atau NGO.
Seorang teman, juga seorang pakar ekonomi dan kewangan, pernah menyarankan sewaktu di sebuah persidangan ekonomi dan kemampanan di Sepanyol menyusul sebuah pembentangan mengenai krisis air dan ekonomi.
Terdapat terlalu banyak konflik bukan saja di antara keghairahan tidak terkawal untuk maju di sudut ekonomi dan usaha-usaha ke arah menghentikan kemelesetan alam tapi juga konflik dalam usaha-usaha menjaga alam sekitar itu sendiri. Alangkah bagusnya jika kesemua inisiatif ini mengambil kira secara serius sesuatu unsur utama yang ketara, amat perlu dan mudah dilihat sebagai asas pemuliharaan apa jua unsur alam".
Bagi penulis, airlah unsur itu.
PENULIS ialah Jurutera Perunding