Staff Access
  Search
   
  MEDIA CENTRE
   
 

 
 
Latest News
 
 
 
 
  PIALA EMAS RAJA-RAJA MASIH DAPAT SAMBUTAN
       
 

Diterbitkan: 2009/12/22 - Sinar Harian

SHAH ALAM – Walaupun tidak segah seperti Piala Malaysia mahupun Liga Super namun Piala Emas Raja-raja mempunyai keistimewaan dan kelasnya yang tersendiri.

Demi menaikkan semula kegemilangan kejohanan ini syarikat perkhidmatan air terbesar negara, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, kini menjadi tulang belakang kemajuan bola sepak orang Melayu dengan menjadi penaja utama Kejohanan Bola Sepak Piala Agong dan Piala Emas Raja-raja Ke-69.

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail yang dilantik sebagai Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) berkata, penglibatan Puncak Niaga dalam persatuan itu adalah usaha untuk menggalakkan kemajuan bola sepak di Negara ini terutama menerusi kejohanan ini.

“Piala Emas Raja-raja telah mula dipertandingkan sejak 1926 hingga 1946 namun kurang mendapat sambutan sehingga terpaksa diberhentikan pada tahun 1976 kerana kurang mendapat sambutan.

“Tetapi piala ini kini menjadi rebutan pasukan-pasukan yang bertanding dan sokongan daripada Puncak Niaga untuk edisi kali ini dan 2010 dapat mengembalikan kegemilangan kejohanan ini,” katanya ketika majlis penyerah piala untuk perlawanan akhir Puncak Piala Emas raja-raja, semalam.

Menurutnya, kejohanan ini juga menjadi platform buat pemain-pemain muda menunjukkan bakat dan menggilap bakat mereka.

“Sehingga kini kita sudah banyak melahirkan pemain yang berkaliber hingga ada yang sudah mewakili Liga Super dan mengharumkan nama negara seperti Mohtar Dahari dan Datuk Abdul Ghani Minhat.

“Dengan itu saya mengharapkan usaha sama di antara PBSMM dan Puncak Niaga dapat diteruskan dan mengharapkan para peminat dapat sama-sama turun ke Kota Darul Aman untuk menyaksikan perlawanan akhir di antara Perlis dan Kedah nanti,” katanya.

Majlis itu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj yang sudi hadir mencemar duli.

   
 

     
  Copyright © 2009
PUNCAK NIAGA HOLDINGS BHD All Rights Reserved.  
Disclaimer
 
Last updated :