Diterbitkan: 2010/1/15 – Berita Harian
SHAH ALAM: Gema bunyi siren diikuti kehadiran dua jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat serta puluhan anggota pasukan itu memasuki Wisma Rozali di sini, mengejutkan tetamu Majlis Pelancaran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB).
Namun, tiada suasana panik kerana kehadiran pasukan itu yang lengkap bertopeng oksigen serta semburan air dari jentera bomba jenis ‘Simon Snorkel’ pada dinding bangunan wisma terbabit hanya gimik pelancaran majlis yang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Johari Basri.
Majlis itu diadakan sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan syarikat korporat terbabit bertujuan memberi lebih pendedahan kepentingan amalan keselamatan dan kesihatan dalam pekerjaan kepada semua kakitangannya.
Acara itu dipenuhi pelbagai aktiviti seperti demonstrasi kecemasan, pameran, ceramah, pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah.
Johari turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 25 loji penapisan air milik PNSB yang berjaya mengekalkan tahap keselamatan baik dengan rekod jam bekerja tanpa kecederaan melebihi 2,000 jam selain cenderamata kepada Loji Penapisan Air Sungai Selangor Fasa Dua yang berjaya mencapai sehingga tiga juta jam bekerja tanpa kecederaan.
Johari dalam ucapannya berkata, pencapaian PNSB itu membanggakan kerana berjaya mengekalkan rekod baik dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Syabas kepada PNSB kerana berjaya mengekalkan mutu keselamatan pekerja. Bagaimanapun, dengan statistik yang bagus ini, PNSB tidak boleh berasa selesa kerana kemalangan boleh berlaku bila-bila masa.
“Saya sudah bekerja di JKKP selama 32 tahun dan sudah melihat syarikat yang bermula dari tahap biasa meningkatkan tahap keselamatan mereka hingga tahap begitu bagus dan memuaskan, namun akhirnya terbabit dengna kemalangan besar yang akhirnya mengakibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PNSB, Datuk Hashim Mahfar yang mewakili Pengerusi Eksekutif PNSB, Tan Sri Rozali Ismail, berkata semua kakitangan perlu menjadikan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebagai budaya.
“Saya yakin jika setiap kakitangan memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing sepenuhnya, tahap keselamatan dan kesihatan akan dapat diperbaiki dengan lebih berkesan,” katanya.