Diterbitkan: 2009/09/06 – Utusan Malaysia
SHAH ALAM 5 Sept. - Sultan Selangor hari ini berkenan menerima zakat perniagaan bernilai RM4.6 juta daripada Puncak Niaga Holdings Bhd. pada majlis berbuka puasa anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) di masjid negeri di sini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima bayaran zakat itu daripada Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail yang juga Yang Dipertua DPMMS.
Pada majlis sama, baginda menyampaikan sumbangan duit raya kepada 836 asnaf di kalangan anak yatim, fakir miskin, golongan kurang upaya dan ibu tunggal daripada 22 Parlimen di negeri ini.
Turut menerima sumbangan pada majlis itu ialah 10 masjid di negeri ini yang masing-masing menerima RM5,000.
Hadir hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Hassan Ali.
Majlis yang bermula pada pukul 5.30 petang itu dihadiri kira-kira 3,500 jemputan termasuk pegawai istana, pegawai kerajaan negeri, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.