Diterbitkan: 2009/11/30 – Utusan Malaysia
SHAH ALAM 30 Nov. - Sebanyak 13 buah rumah anak yatim sekitar Selangor menerima sumbangan daging daripada sembilan ekor lembu yang dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha oleh Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) di sini hari ini.
Majlis korban itu dijayakan dengan syarikat perkhidmatan air, Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PSNB) dan kerja-kerja penyembelihan dilakukan di pekarangan Wisma Rozali di sini.
Pengarah Urusan PNSB, Datuk Matlasa Hitam berkata, program itu adalah acara tahunan PSNB dan sudah kali ketiga dianjurkan bersama Peka.
Menurut beliau, majlis seperti itu juga dapat menggambarkan kerjasama dan permuafakatan antara kakitangan Puncak Niaga dengan Peka dalam menganjurkan majlis berunsur keagamaan.
"Sebelum ini majlis korban diadakan di loji besar milik PSNB dengan penyertaan daripada kakitangan, namun kali ini kita memilih lokasi Wisma Rozali sebagai tempat majlis ini berlangsung pada tahun ini.
"Majlis ini turut mendapat sokongan dan komitmen daripada pengurusan tertinggi sehingga kepada kakitangan bawahan termasuk 18 orang membuat potongan gaji setiap bulan bagi menyertai ibadah korban ini," katanya ketika ditemui di majlis itu.
Hadir sama, Pengurus Besar Peka, Saadon Kardi.
Seramai 50 petugas mewakili Peka dan kakitangan Puncak Niaga turut terlibat menjayakan program korban itu bagi kerja-kerja menyembelih, melapah daging dan sebagainya.
Antara rumah anak yatim yang mendapat sumbangan daging korban itu ialah Asrama Anak Yatim Darul Izzah, Asrama Anak Yatim Darul Fuqaha, Asrama Anak Yatim Kuang, Rumah Kasih Harmoni, Pondok Penyayang Raudah, Asrama Anak Yatim Qanaah dan Persatuan Anak Yatim Flat Sri Sabah.