SHAH ALAM 18 Feb. - Warga kerja syarikat konsesi
air terbesar di negara ini, Puncak Niaga Sdn.
Bhd., (PNSB) menyumbang sebanyak RM6,721.10
kepada Mercy Malaysia bagi membantu meringankan
beban pertubuhan kebajikan itu yang melaksanakan
misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Sumbangan itu diserahkan oleh Pengarah Urusan
PNSB, Datuk Matlasa Hitam kepada Pemangku Pengurus
Besar Mercy, Shahruddin Asmani pada majlis ringkas
di Wisma Rozali di sini semalam.
Matlasa berkata, sumbangan itu sebagai tanda
prihatin kakitangan syarikat tersebut terhadap
penderitaan yang dialami oleh penduduk Gaza
yang ditindas oleh rejim Zionis.
"Malah jika perlu, bantuan daripada inisiatif
jabatan korporat dan loji-loji di bawah syarikat
ini akan diteruskan lagi,'' katanya ketika berucap
pada majlis itu.
Sementara itu, Shahruddin pula memberitahu,
sehingga kini Mercy sudah menyediakan bekalan
ubat- ubatan berjumlah kira-kira RM1.3 juta
sejak wilayah tersebut diserang tentera Israel
lebih sebulan lalu.
Bagaimanapun jelasnya, pasukan perubatan Mercy
terpaksa akur dengan arahan pihak Palestin yang
meminta mereka keluar dari Gaza kerana bimbang
dengan serangan kedua daripada rejim Zionis
itu.
Namun beliau berkata, pasukan Mercy tidak
sabar untuk masuk kembali bagi membantu melaksanakan
proses pembangunan semula di Gaza.