Diterbitkan: 2009/12/5 – Utusan Malaysia
Puncak Niaga (M) Sdn Bhd secara rasmi dilantik sebagai penaja utama Kejohanan Bolasepak Piala Agong dan Piala Emas Raja-raja kali ke-69 tahun ini, lapor NORHAYATI YAHAYA.
Serentak dengan itu, Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail turut diumumkan selaku Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) yang baru.
Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, menerusi penajaan rasmi tersebut, kejohanan bola sepak anjuran PBSMM tahun ini dinamakan sebagai Puncak Piala Agong dan Puncak Piala Emas Raja-raja.
“Perkataan ‘Puncak’ ditambah sebagai melambangkan PNSB selaku penaja pertandingan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Rasmi Logo Kejohanan Bola Sepak Puncak Piala Agong dan Puncak Piala Emas Raja-raja Kali Ke-69 di Wisma Rozali, Seksyen 13, Shah Alam semalam.
Pada majlis yang sama, Rozali turut menyampaikan cek tajaan bernilai RM200,000 kepada PBSMM.
Sementara itu, diminta mengulas lanjut mengenai tajaan tersebut, Rozali memberitahu, pihaknya akan memberikan sepenuh tumpuan terhadap perkembangan sukan bola sepak Melayu bagi mengembalikan kegemilangan kejohanan bola sepak Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong yang dianggap antara pertandingan tertua di negara ini.
“Penglibatan syarikat dalam penajaan sukan bola sepak ini merupakan salah satu daripada tanggungjawab korporat yang perlu dilaksanakan.
“Kami harap, dengan sokongan korporat ini, pihak PBSMM akan dapat bergiat lebih aktif dalam menjayakan kejohanan di samping berjaya mencungkil bakat-bakat baru untuk penyediaan melahirkan pemain-pemain yang bakal mengharumkan nama Negara,” ujarnya.
Kejohanan Puncak Piala Emas Raja-raja tahun ini menyaksikan 15 pasukan mewakili negeri-negeri dan kelab bertanding dalam 34 perlawanan yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu Zon Tengah, Selatan, Utara dan Timur.
Perlawanan peringkat awal telah bermula sejak 20 November lalu dan kini lapan pasukan iaitu Perlis, Kedah, Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Johor, Kelantan dan Singapura layak mara ke peringkat suku akhir.
Hari ini, aksi suku akhir kedua akan berlangsung di empat lokasi dan ia adalah penentuan untuk slot separuh akhir.