Diterbitkan: 2010/1/16 – Berita Harian
SHAH ALAM: Demi menjamin survival bangsa Melayu dalam bidang ekonomi ketika kerajaan mungkin dilihat banyak mengetengahkan dasar populis, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Selangor (DPMMS) dan Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor (Gapums) bersetuju untuk menganjurkan satu simposium pada Mac ini.
Simposium bertajuk 1 Malaysia: Impak Kepada Ekonomi Bangsa dan Cabaran Ekonomi Melayu itu diharap dapat menghasilkan satu rumusan konkrit mengenai nasib usahawan Melayu untuk diberi perhatian pemimpin Kerajaan Pusat dan negeri.
Yang Dipertua DPMMS, Tan Sri Rozali Ismail, berkata perkara utama yang dibahaskan ketika ini ialah mengenai kedudukan dan hak keistimewaan peniaga dean usahawan Melayu yang banyak terjejas dan semain terpinggir sama ada berikutan dasar yang dibuat Kerajaan Pusat dan kerajaan Selangor.
Katanya, kesannya kepada ekonomi usahawan Melayu jelas dilihat pada tahun lalu dan inilah perkara yang perlu diperjelaskan oleh pemimpin Kerajaan Pusat dan Selangor dalam satu pertemuan yang akan diadakan selepas itu.
“Isu mengenai perpecahan yang semakin ketara di kalangan orang Melayu terutama di Selangor yang terbabit dalam politik dan banyak isu ini semakin menjejaskan kedudukan ekonomi peniaga di Selangor.
“Kita amat sedih dan ingin mengadakan perjumpaan untuk melihat perkara ini agar tidak berterusan dan melemahkan penyertaan orang Melayu dalam sektor ekonomi,” katanya pada sidang media menghadiri Sesi Bicara Di mana Letaknya Orang Melayu Dalam Suasana Ekonomi Semasa – Dasar Populis, Melayu Merudum? di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Gapums, Datuk Mohd Idris Jauzi dan Pengerusi Dewan Muda Selangor, Agil Faisal Ahmad Fadzil.