Staff Access
  Search
   
  MEDIA CENTRE
   
 
 
Latest News
 
 
 
 
  SISA DOMESTIK CEMAR AIR SUNGAI
       
 

Diterbitkan: 2010/2/24 – Sinar Harian

Salah satu program dalam Pakej Ransangan Ekonomi RM50 bilion Kerajaan Negeri Selangor ialah Pemulihan dan Pembersihan Sungai Klang (RM10 bilion) yang melibatkan seluruh jajaran Sungai Klang sepanjang 120km bermula di Empangan Klang Gates sehingga muara Sungai Klang. Ini termasuk pelaksanaan pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rezab. Pembangunan semula bandar tertumpu kepada pembangunan bandar lama Petaling Jaya dan Klang, merangsang projek baru, usaha menaik taraf dan menggantikan aset air, membangunkan sistem jalur lebar dan sistem tanpa wayar dalam pembangunan teknologi dan komunikasi (ICT), membangunkan semula sistem pengangkutan di negeri ini termasuk sistem transit aliran ringan (LRT) dan jalan raya. Selaras dengan itu, satu 'Bengkel Pemuliharaan dan Pengindahan Sungai Klang' diadakan pada 10 Ogos tahun lalu yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Salah satu hasil rumusan dalam bengkel tersebut ialah mengaktifkan 'Penglibatan Komuniti dalam Program Kesedaran Awam' terutama untuk menjaga dan memulihara Sungai Klang. Susulan daripada usaha tersebut, Program Pelancaran Kitar Semula Sisa Minyak Masak (PKSSMM) Peringkat Zon 4, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) anjuran bersama Lembaga Urus Air Selangor (Luas), MPAJ dan Komuniti Surau Sri Baiduri, Ukay Perdana telah berlangsung baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Luas, Nor Zamri Sondor berkata, kajian Port Klang Initial Risk Assessment mendapati, tiga parameter utama yang melepasi piawaian kualiti air sungai iaitu jumlah pepejal terampai, E-coli dan minyak.

Menurutnya, PKSSMM ini bertujuan menyedarkan komuniti yang mendiami kawasan sepanjang sungai agar pencemaran domestik dapat dikawal dari rumah, gerai, penjaja pasar malam dan restoran.

"Sisa minyak masak yang selama ini dibuang ke dalam singki atau longkang sebenarnya boleh dikitar semula menjadi bahan berguna seperti biodiesel, lilin, bahan pencuci dan makananan haiwan. Komuniti juga dapat menjana pendapatan daripada hasil jualan sisa minyak tersebut yang memang mempunyai pasaran sedia ada.

"Selain itu, komuniti dapat menjaga kebersihan kawasan kediaman daripada gangguan tikus dan lipas apabila saluran dan longkang rumah mereka bersih. Apa yang lebih penting ialah supaya sisa minyak ini tidak terlepas ke sungai begitu sahaja," katanya.

Hadir sama memeriahkan majlis seterusnya merasmikan program tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib. Turut hadir, Ahli Majlis MPAJ, Abdul Latiff Shaari dan penduduk sekitar Zon 4 MPAJ.

Zamri berkata, selain sisa minyak, kitar semula sisa pepejal dan sampah sarap seperti kertas, tin, plastik dan kaca juga boleh dilakukan sebagai sebahagian daripada program kesedaran komuniti.

"Saya berharap program ini dapat memberikan kesedaran komuniti setempat tentang kepentingan amalan kitar semula kerana program ini melibatkan semua pihak dalam melaksanakan pendekatan secara bersepadu dalam pemuliharaan sumber air dan alam sekitar.

"Dengan ini, Sungai Klang akan menjadi bersih dan bebas daripada pencemaran minyak serta sampah pada masa akan datang," katanya.

Agama Tuntut Kebersihan

ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib berkata, komuniti merupakan benteng terakhir menjaga alam sekitar kerana air dan kehidupan berkait rapat.

Menurutnya, komuniti perlu meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dan kembali kepada ajaran agama sebagaimana al-Quran dan Hadis ada menyentuh mengenai air.

"Setiap apa yang ada pada kita adalah pinjaman dan nikmat Allah dan sekiranya ia tidak dihargai, maka nikmat tersebut akan diambil semula," katanya.

Beliau berkata, sebagai ADUN, agenda awal beliau adalah usaha pemutihan kawasan pelancongan seperti di Kampung Kemensah kerana sungai yang ada sepatutnya tidak dibina struktur yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Saari berkata, program ini diharapkan menyumbangkan kebersihan di Sungai Sering dan Sungai Kampung Kemensah yang mengalir ke Sungai Klang.

"Inilah perjuangan saya di mana penjagaan alam sekitar di Hulu Kelang, adalah agenda utama saya," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MPAJ, Abdul Latif Shaari berkata, Zon 4 merupakan zon yang sangat sensitif kerana ia berada di dalam kawasan tadahan air.

Menurutnya, keadaan alam sekitar di dunia sekarang sememangnya dalam keadaan nazak antara lain seperti gempa bumi dan kenaikan air laut.

"Saya berharap program ini akan berjaya dan dapat menyedarkan komuniti dan memulihkan keadaan yang sedia ada sekrang," katanya.siti itu setiap tahun.

   
 
     
  Copyright © 2009
PUNCAK NIAGA HOLDINGS BHD All Rights Reserved.  
Disclaimer
 
Last updated :