Program Turun ke Padang (TKP) Syabas ke-35 telah diadakan pada hari Khamis, 15 Mei 2008 di Sekolah Kebangsaan Kampung Rinching, 43700 Beranang, Selangor Darul Ehsan.
Seramai 50 orang pelajar Tahun 5 telah diberi taklimat mengenai operasi Puncak Niaga, proses rawatan air serta pentingnya menjaga sungai daripada tercemar dan juga taklimat daripada wakil Syabas.
Sesi taklimat Puncak Niaga telah disampaikan oleh Puan Azlinda Abd Ghani, Eksekutif, Bahagian Operasi I, Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd.
15 Mei 2008
LAWATAN KE EMPANGAN DAN LOJI PEMBERSIHAN AIR SUNGAI LANGAT
Pada hari Sabtu, 10 Mei 2008, Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd telah menerima satu rombongan lawatan daripada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Semenyih. Seramai 42 orang pelajar dan 5 orang guru terlibat lawatan ini.
Pelajar-pelajar telah dibawa melawat sekitar Empangan Langat dan Loji Pembersihan Air Sungai Langat untuk memberi pendedahan dan pendidikan tentang proses rawatan air yang dilakukan oleh PNSB.
Sesi taklimat di empangan dikendalikan oleh En. Abdul Samat Osman daripada Jabatan Komunikasi Korporat. Manakala En. Abdul Halim Abd Aziz, daripada Jabatan Operasi Dam dan En. Adnan Mohamed Suboh, Mandor Dam Langat. Sesi taklimat di Loji Pembersihan Air Sungai Langat dikendalikan oleh En. Zulkefly Abdollah, Eksekutif Kanan Loji.
10 Mei 2008
KEMPEN KESEDARAN ALAM SEKITAR – PROGRAM LAWATAN KE KILANG KALI KE -17
Puncak Niaga sekali lagi telah dijemput untuk memberi penerangan mengenai kempen kesedaran alam sekitar. Selain memberikan informasi berkenaan dengan operasi syarikat yang dilawati, Puncak Niaga dan SYABAS juga dibenarkan melawat ke dalam kawasan kilang tersebut.
Program lawatan ke kilang Recron (M) Sdn. Bhd. telah dijalankan pada 7 Mei 2008.
Kesedaran menyeluruh mengenai pencemaran sungai sangat dititikberatkan. Ini adalah berikutan pencemaran sungai lazimnya disebabkan oleh kilang-kilang yang beroperasi dikawasan yang berdekatan. Kurangnya pengetahuan untuk merawat sisa buangan dengan sempurna, merupakan sumbangan utama pencemaran ini.
7 Mei 2008
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE--12 KELAB SUKAN DAN INSANI PUNCAK NIAGA KUALA LUMPUR (kelab) – 26 APRIL 2008
Mesyuarat Agung Tahunan ke-12 Kelab Sukan Dan Insani Puncak Niaga Kuala Lumpur (Kelab) telah diadakan pada hari Sabtu, 26 April 2008, jam 8.45 pagi sehingga 1.00 petang bertempat di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, Jalan Kelab Golf 13/6, Shah Alam, Selangor.
Bersempena dengan mesyuarat tersebut, pihak Ahli Jawatankuasa telah bersama-sama untuk hadir pada hari tersebut sebagai menyempurnakan tanggungjawab sebagai ahli dan membuat pembentangan sebarang usul yang ingin disuarakan
Sebelum Mesyuarat Agung bermula, sesi penyampaian hadiah akan diadakan seperti berikut:
Penyampaian Hadiah Saguhati
· Pelajar Cemerlang UPSR, PMR & SPM bagi tahun 2006 & 2007
· Pelajar yang mendapat keputusan 3A keatas sahaja
· Ibu atau bapa pelajar (kakitangan) sebagai wakil untuk mengambil hadiah
Penyampaian Hadiah Sukan tahun 2007
· Wakil dari pasukan akan mengambil hadiah bagi setiap kategori permainan.
26 April 2008
LAWATAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SERI BINTANG SELATAN KE EMPANGAN DAN LOJI RAWATAN AIR PNSB – 15 MEI 2008
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Selatan telah mengadakan lawatan ke Empangan Klang Gates dan Loji Rawatan Air Puncak Niaga Sdn. Bhd. pada 15 April 2008, hari Selasa pada jam 9.00 pagi sehingga 1.30 petang.
Seramai 40 orang pelajar dan dua (2) orang guru pengiring telah terlibat didalam lawatan ini. Para peserta telah dibawa peluang melawat Empangan Klang Gates dan para pelajar tersebut telah diberi pendedahan mengenai proses rawatan air serta pentingnya menjaga sungai daripada tercemar. Sesi penerangan mengenai empangan telah diberikan oleh Encik Shamsulhahk Ismail dan penerangan mengenai loji rawatan air pula oleh Encik Muhammad Hafiz Yunos.
Kerjasama dan kehadiran kakitangan PNSB yang terlibat turut memeriahkan lagi lawatan tersebut. Komitmen yang tinggi oleh setiap kakitangan yang telah menjayakan acara ini adalah antara faktor penyumbang kepada kejayaan lawatan tersebut.
15 April 2008
MAJLIS PELANCARAN HARI TERBUKA LOJI PEMBERSIHAN AIR SUNGAI LANGAT BERSEMPENA SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA
Majlis Pelancaran Program Hari Terbuka Loji Pembersihan Air Sungai Langat telah disempurnakan pelancarannya oleh YB Dato’ Hassan Mohammad Ali, EXCO Hal Ehwal Islam, Istiadat, Adat Resam Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor pada 29 Mac 2008. Turut hadir, Pengarah Urusan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, YBhg. Dato’ Matlasa Hitam.
Majlis ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh PNSB selaku pembekal air bersih kepada pengguna-pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersempena dengan Sambutan Hari Air Sedunia yang ditetapkan pada 22 Mac setiap tahun.
Selain melibatkan 175 pelajar sekolah rendah di kawasan yang berdekatan, majlis ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran orang awam dan media.
Dalam pada masa yang sama, 3 buah Loji Pembersihan Air Puncak Niaga iaitu Loji Pembersihan Air Bukit Nanas, Loji Pembersihan Air Wangsa Maju dan Loji Pembersihan Air Sungai Selangor Fasa II turut dibanjiri pelawat yang mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan infomasi berkenaan dengan proses rawatan air.
29 Mac 2008
MAJLIS PERHIMPUNAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT KEBANGSAAN 1429H/2008M
Stadium Putra Bukit Jalil sekali lagi dibanjiri orang ramai bersempena dengan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 20 Mac 2008. Setiap tahun pada 12 Rabiul Awwal, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengadakan beberapa majlis sambutan. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Di Malaysia, sambutan berupa perarakan, tayangan, ceramah, nasyid, pementasan, deklamasi sajak dan puisi, menjadi acara utama dalam sambutan ini. Tema Maulidur Rasul pada tahun ini ialah ‘Menjana Ummah Gemilang‘. Berikutan dengan itu, diharapkan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dapat memberi cetusan penghayatan terhadap perjuangan Rasulullah dalam membentuk peribadi dan diri sahabat-sahabat baginda seterusnya memberi petunjuk serta tauladan buat sekalian umat Islam hingga ke hari ini. Penjanaan kegemilangan ummah hanya dapat dicapai dengan berpegang teguh pada al-Quran dan as-Sunnah serta mengamalkan segala isinya
Kemuncak sambutan majlis tersebut diumumkan lima orang penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul. Hadiah disampaikan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong Tengku Mizan Zainal Abidin.
20 Mac 2008
MESYUARAT AGONG KALI KEDUA PERSATUAN KAKITANGAN BEKALAN AIR SELANGOR, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA (PEKA)
Mesyuarat Agong Kali Kedua PEKA telah berlangsung di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam Selangor pada 22 Mac 2008. Majlis ini disempurna oleh YBhg Dato’ Shaari Ismail selaku penaung persatuan.
Majlis dihadiri Presiden persatuan Yang Berusaha Encik Naemuddin Abdullah dan Ahlijawatankuasa-ahlijawatankuasa serta ahli persatuan dikalangan kakitangan Puncak Niaga dan SYABAS. Mesyuarat ini adalah bertujuan untuk menyusun dan membincangkan program-program persatuan sepanjang tahun 2008. Selain itu ahli persatuan juga berpeluang memberi pandangan dan cadangan yang bernas untuk memantapkan halatuju persatuan.
22 Mac 2008
PROGRAM PENINGKATAN KUALITI AIR SYABAS
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) telah melancarkan secara serentak, satu lagi Program Peningkatan Kualiti Air SYABAS iaitu Program Penggantian Paip Perhubungan yang melibatkan kesemua 10 Wilayah di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 22 Mac 2008. Upacara diadakan di 3 kawasan utama iaitu Wilayah Petaling Jaya, Klang dan Kuala Selangor. Tempat-tempat tersebut adalah:-
Padang Awam, Jalan SS15/3, Subang Jaya (Petaling District)
Dewan Orang Ramai Jeram, Batu 19, Jeram (Kuala Selangor District)
Padang Awam, Jalan Hulubalang 10C, Taman Sentosa 3 (Klang District)
Majlis pelancaran di Wilayah Petaling ini disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh Tseow Suan ADUN Subang Jaya bertempat di SS 15, Subang Jaya. Turut hadir YB Teresa Kok Suh Sim Ahli Parlimen Seputeh, hadir sama YBhg. Dato’ Ruslan Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS. Majlis ini turut dihadiri pihak Pengurusan Kanan SYABAS serta jemputan setempat termasuk pihak berkuasa tempatan, wakil-wakil penduduk setempat dan para penduduk sekitarnya.
PNSB turut terlibat dalam menjayakan majlis ini dengan penyertaan 40 orang ahli-ahli Briged Penyelamat Sungai daripada sekolah Kebangsaan Seksyen 13, Shah Alam. Pelbagai aktiviti dirangka oleh Unit BPS dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap sumber air mentah seperti sungai. Antaranya aktiviti yang dijalankan ialah penerangan mengenai proses rawatan air, kuiz uji minda dan pertandingan memasang paip.
22 Mac 2008
KEMPEN KESEDARAN ALAM SEKITAR – PROGRAM LAWATAN KE KILANG KALI KE 15 DAN 16
Berikutan respon dan kesedaran yang baik dikalangan pengusaha kilang, Puncak Niaga telah dijemput untuk memberi penerangan kempen tersebut. Selain memberikan informasi berkenaan dengan operasi syarikat yang dilawati, Puncak Niaga dan SYABAS juga dibenarkan melawat ke dalam kawasan kilang tersebut.
Program lawatan ke kilang Perodua Automotive Centre telah dijalankan pada 6 Mac 2008. Manakala kilang Getah KL Kepong, Ladang Changkat Asa pula pada 26 Mac 2008.
Kesedaran menyeluruh mengenai pencemaran sungai sangat dititikberatkan. Ini adalah berikutan pencemaran sungai lazimnya disebabkan oleh kilang-kilang yang beroperasi dikawasan yang berdekatan. Kurangnya pengetahuan untuk merawat sisa buangan dengan sempurna, merupakan sumbangan utama pencemaran ini.
Setakat ini, operasi kebanyakan kilang getah telah dilaporkan membuang sisa tidak terawat ke dalam Sungai Bernam.
6 Mac 2008
PENYERAHAN KALENDAR 2008 KE SEKOLAH-SEKOLAH TERPILIH
Puncak Niaga (M) Sdn Bhd telah menghantar Kalendar 2008 kepada 157 sekolah yang pernah terlibat dalam program Kelab Briged Penyelamat Sungai (BPS) dan Turun Ke Padang (TKP) anjuran Puncak Niaga. Setiap sekolah telah menerima sebanyak 250 keping kalendar dan 500 penanda buku BPS. Penyerahan kalendar ini telah dilakukan bermula pada 4 Februari hingga 22 Februari 2008.
Pemberian kalendar dilakukan setiap tahun dan ini adalah tanda penghargaan syarikat kepada sekolah-sekolah yang pernah terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan syarikat. Antara sekolah yang telah menerima calendar ini ialah SJK (T) Batu Caves, SK Taman Sri Gombak, SJK (C) On Pong, SK Ampang dan SK Ampang Campuran.
4-22 Februari 2008
PUNCAK NIAGA SERAH SUMBANGAN UNTUK TAMPUNG KOS RAWATAN L/KPL MOHD EDWIN ABDULLAH
Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (PNSB) telah menyampaikan sumbangan cek berjumlah RM10,000 bagi menampung kos rawatan buah pinggang Lans Koperal 131860 David Duwin Anak Kalong @ Mohd. Edwin Abdullah pada 27 Febuari 2008
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengarah Urusan PNSB, YBhg Dato’ Matlasa Hitam dalam satu majlis ringkas di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail kepada isteri Lans Koperal Edwin. Turut hadir pada sesi penyerahan tersebut termasuklah Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Pemangku Superitendan Azri Abdul Rahman dan Ketua Polis Balai Taman Tun Dr Ismail, Cif Inspektor Jasmin Hussin.
Lans Koperal Edwin yang bertugas di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 24 Disember tahun lalu kerana menghidap kerosakan buah pinggang. Lans Koperal Edwin, 33, mula berkhidmat dengan pasukan polis mulai 1 Disember 1997. Sebelum dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Lans Koperal Edwin bertugas di Stor Senjata, Balai Polis Taman Tun Dr Ismail disamping melakukan tugas rondaan.
27 Februari 2008
LAWATAN KERJA SETIAUSAHA KEMENTERIAN TENAGA, AIR DAN KOMUNIKASI YBHG DATO DR HALIM MAN KE LOJI PEMBERSIHAN AIR SG. RUMPUT
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato’ Dr. Halim Man telah melakukan Lawatan Kerja ke Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Rumput yang dikendalikan oleh Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (PNSB) di Gombak, pada 5 Februari 2008. Dalam lawatan kerja tersebut, beliau telah menyaksikan penggunaan Sistem Penapisan Ultra yang julung kali diperkenalkan di Selangor.
Sistem penapisan ultra yang kini diguna pakai di LPA Kepong dan LPA Sungai Rumput mampu mengnyahkan partikel sehingga sekecil 0.01 ke 0.1 mikron. Pada saiz ini, ia mampu mengnyahkan secara menyeluruh kandungan patogen, virus, koloid, bakteria dan protozoa. Ini termasuklah mengnyahkan sebahagian kandungan organik.
Projek yang menelan belanja sebanyak RM8.4 juta (RM3.2 juta di Sungai Rumput dan RM5.2 juta di Kepong) dan mengambil masa 11 bulan untuk disiapkan telah mengoptimumkan kualiti bekalan dan perkhidmatannya termasuklah memastikan tiada lagi penghentian operasi LPA akibat paras NTU yang tinggi (melebihi 5 NTU) sewaktu musim tengkujuh. Hasil daripada ujian yang dijalankan, kualiti air yang dirawat mencatat peningkatan yang ketara daripada paras 3-5 NTU kepada bawah paras 0.5 NTU.
5 Februari 2008
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM SEMAI BAKTI FASA KEDUA PERINGKAT NASIONAL
Majlis Pelancaran Program Semai Bakti Fasa Kedua Peringkat Nasional telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada 1 Februari 2008 di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Puteri Gunung, Taman Tasek Indah, Simpang Ampat, Seberang Perai, Pulau Pinang. Majlis anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) ini telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pertubuhan Badan Amal Tenaga Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen Pulau Pinang (Bunga Tanjung), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd.
Selain itu, Klinik UPSR Semai Bakti dengan kerjasama Berita Harian, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Perai Selatan, dan Biro Pelajaran dan Pengajian Tinggi UMNO Bahagian Nibong Tebal telah diadakan di Sek. Men Keb. Tasek, Taman Puteri Gunung, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Program ini melibatkan 151 orang pelajar Darjah 6 daripada pelbagai bangsa dari 6 buah sekolah iaitu Sek. Keb Sg.Bakap, SJK (C) Boon Beng, SJK (T) Tasek Permai, Sek. Keb Seri Tasek, Sek. Keb. Bandar Tasek Mutiara, dan Sek. Keb. Tasek Permai. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datin Seri Rabaayah Mohd Naim, Timbalan YDP Bunga Tanjung. Segala kos dan perbelanjaan bagi pelaksanaan Klinik UPSR telah disumbangkan oleh Puncak Niaga (M) Sdn Bhd.
1 Februari 2008
PERHIMPUNAN BULANAN KAKITANGAN PNSB
Perhimpunan Bulanan Kakitangan PNSB bagi Januari 2008 telah diadakan pada 26 Januari 2008 di perkarangan Wisma Rozali. Perhimpunan kali ini turut melibatkan kakitangan anak syarikat PNSB seperti TRI Plc Berhad dan WWE Holdings Berhad.
Pada perhimpunan tersebut, YBhg Tan Sri Rozali telah menggesa kakitangan pengurusan agar mengurus dan mentadbir perjalanan syarikat dengan cekap. Mereka juga haruslah cekap dan berani membuat keputusan agar segala urusan memberikan pulangan yang lumayan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang terlibat dengan pelbagai misi bantuan yang dilaksanakan Syarikat sepanjang tahun lalu. Beliau menyifatkan penglibatan Syarikat dalam misi bantuan sebagai tanggungjawab sosial Syarikat kepada bangsa dan negara.
26 Januari 2008
LAWATAN KERJA KE AKHBAR SINAR HARIAN
Satu lawatan kerja ke pusat operasi Akhbar Sinar Harian telah diadakan pada 17 Januari 2008 bertempat di Ibupejabat Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam. Kumpulan Karangkraf adalah merupakan penerbit akhbar Sinar Harian.
Lawatan anjuran Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS dan Jabatan Komunikasi Korporat PNSB adalah bertujuan untuk mengukuhkan hubungan baik dengan pihak media.
Pada lawatan tersebut, rombongan telah diberi penerangan tentang aspek-aspek penerbitan dan pengeluaran akhbar Sinar Harian.
17 Januari 2008
PELAN TINDAKAN KECEMASAN TRAGEDI PAIP PECAH DI TAPAK PEMBINAAN LEBUHRAYA DUTA – ULU KELANG
Pada 17 Januari 2008, PNSB telah mengaktifkan pelan tindakan kecemasan serta-merta sebaik menerima maklumat paip yang membekalkan air mentah dari Empangan Klang Gates ke Loji Rawatan Air Bukit Nanas, pecah. Kejadian ini dipercayai berpunca dari kerja-kerja penambakan tanah bagi pembinaan Lebuhraya Duta- Ulu Klang (DUKE) berhampiran PPRT Setapak Jaya. Akibat daripada kejadian tersebut, kawasan sekitar PPRT Setapak Jaya telah ditengelami air dan banjir Lumpur.
Amaran Kod Merah telah diaktifkan mulai jam 6.40 petang dan aliran air telah dihentikan mulai jam 7.30 petang untuk mengelakkan banjir yang lebih buruk berlaku.
Bagi memastikan perkhidmatan yang terjejas diminimumkan, Puncak Niaga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 bagi menyalurkan sumber bekalan air terawatt ke kawasan terlibat.
17 Januari 2008
PERTANDINGAN GOLF AMAL MENARA JAM WARISAN BUDI PUTRA UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Satu pertandingan Golf Amal Menara Jam Warisan Budi Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diadakan pada 12 Januari 2008 di Padang Golf UPM. Pertandingan diadakan bertujuan untuk menambah dana pembinaan Menara Jam Warisan Budi Putra UPM. Menara Jam ini adalah merupakan pembinaan mercu tanda UPM sempena sambutan 75 tahun Jubli Intan UPM. Dai samping itu, kutipan Golf Amal ini juga akan dimasukkan ke dalam Tabung Kebajikan Pelajar yang akan disalurkan kepada pelajar-pelajar UPM yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan sepanjang pengajian mereka si Universiti.
Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) telah tampil sebagai Penaja Utama pertandingan ini. Pro-Canselor UPM, YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, yang juga nerupakan Pengerusi Eksekutif PNSB telah merasmikan pertandingan tersebut.