“Program Ceramah Agama Sempena Tahun Baru 2017” Pemangkin Motivasi Kakitangan

Pada hari Jumaat, 27 Januari 2017 yang lalu, Unit Hal Ehwal Agama & Syariah, Pejabat Pengerusi Eksekutif telah menganjurkan program Ceramah Agama bersempena dengan tahun baru 2017. Ceramah tersebut telah diadakan di Bilik Latihan Wisma Rozali dari 3.00 sehingga 4.30 petang dan diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Puan Sri Faridah Idris, isteri YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Puan Edzwanie Saflena, isteri En. Azlan Shah Tan Sri Rozali bersama-sama lebih 100 orang barisan pengurusan dan kakitangan PNHB.

Saudara Syamsul Amri bin Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat, Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia telah diundang sebagai penceramah jemputan yang telah menyampaikan ceramah bertajuk “Azam Tahun Baru 2017”. Beliau yang juga merupakan personaliti TV Al-Hijrah terkenal dengan cara penyampaian ceramah yang bersahaja dengan menggunakan loghat Negeri Sembilan. Ceramah serba santai yang penuh lawak jenaka mengundang gelak tawa para hadirin sekaligus mengekalkan fokus mereka dari mula sehingga akhir program. Dalam keceriaan tersebut, beliau juga telah menyelitkan pelbagai pesanan dan nasihat yang dikukuhkan lagi dengan hadis-hadis Nabi serta contoh yang mudah difahami.

Dalam ceramahnya, saudara Syamsul telah menegaskan tujuh perkara yang perlu dipelihara untuk memastikan umat Islam sentiasa cemerlang di dunia dan di akhirat. Secara ringkas, perkara-perkara yang perlu dijaga oleh setiap insan adalah; pertama, menjaga lisan iaitu tutur kata dan ucapan, kedua, menjaga hati dengan mengindahkannya dengan kebaikan dan taqwa, ketiga, menjaga pandangan mata iaitu menundukkan dan menahan pandangan dari perkara yang di larang, keempat, menjaga perut dengan memelihara diri dari memakan makanan yang haram, kelima, menjaga tangan iaitu menjaga perbuatan dan bersifat amanah, keenam, menjaga langkah kaki dari berjalan menuju yang haram atau tempat yang diharamkan dan akhir sekali menjaga ketaatan dengan sentiasa beristiqomah pada jalan Allah.

Saudara Syamsul turut mengingatkan supaya kita menghargai segala nikmat kurniaan Allah SWT dengan penuh kesyukuran. Syukur dalam kehidupan dapat dizahirkan melalui sebutan, ingatan, perbuatan dan dengan memelihara segala nikmat yang telah diberikan. Program ini diadakan untuk meningkatkan semangat dan jati diri kakitangan serta merupakan salah satu langkah yang diambil oleh pihak syarikat untuk membentuk akhlak serta sahsiah diri yang cemerlang sebagai bekalan untuk mengharungi tahun baru 2017.