Taklimat Pengurusan Harta Pusaka & Wasiat Tingkat Kefahaman Kakitangan

Islam adalah ad-din atau cara hidup yang kamil, syumul dan meliputi segala aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Ajaran Islam merangkumi semua aspek kehidupan dan bukan hanya memberi panduan kepada manusia dalam hal perancangan hidup di dunia malah juga perancangan selepas kematian. Islam menyarankan umatnya agar merancang harta bukan sekadar untuk hayatnya bahkan kita juga dianjurkan untuk mengurus dan merancang aset yang dimiliki untuk persediaan selepas kematian.

Menurut statistik dari Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, dilaporkan sebahagian besar daripada harta umat Islam yang merangkumi rumah, tanah dan wang tunai sejumlah RM60 bilion tidak dituntut oleh waris. Hasil kajian menunjukkan masalah ini berpunca daripada beberapa faktor termasuk kejahilan waris mengenai prosedur yang perlu diikuti, selain sikap waris yang tidak menghiraukan aspek wasiat.

Sehubungan dengan itu, Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu taklimat berkaitan Pengurusan Harta Pusaka dan Wasiat yang bertujuan untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai pentadbiran dan pengurusan harta pusaka menurut hukum Syarak. Program ini telah diadakan pada hari Jumaat, 24 Februari 2017 yang lalu.

Majlis perkongsian maklumat tersebut telah disampaikan oleh Encik Indera Shahril Bin Mohd Shahid, Pengurus Harta Baitulmal MAIS yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan harta dan pusaka. Majlis tersebut telah dihadiri oleh lebih kurang 50 orang kakitangan PNHB serta tiga orang wakil dari MAIS.

Penceramah telah menerangkan permasalahan yang sering terjadi dalam pengurusan harta pusaka dan menekankan aspek muafakat di kalangan waris-waris sebagai faktor penting yang memudahkan dan mempercepatkan proses tuntutan. Perbalahan serta sikap tidak ambil tahu waris adalah antara punca kes-kes tuntutan berlarutan sehingga bertahun lamanya. Ini menyebabkan harta tersebut dibekukan dan tidak dapat dimanfaatkan oleh ahli waris sekaligus membebankan ahli waris yang memerlukan bantuan.

Rata-rata para kakitangan amat berminat dengan subjek yang telah disampaikan dan ramai telah mengajukan soalan kepada penceramah berkaitan subjek yang dibincangkan. Merancang pewarisan pusaka amat penting bagi umat Islam dan boleh mengelakkan masalah seperti pertelingkahan ahli keluarga dan sanak saudara. Taklimat Pengurusan Harta Pusaka & Wasiat PNHB telah memberi pendedahan kepada kakitangan tentang tatacara pengurusan harta pusaka yang betul melalui perkongsian ilmu oleh penceramah yang bertauliah. Ia diharapkan telah memberi maklumat yang bermanfaat dan menjadi ilmu yang berguna buat para kakitangan di masa akan datang.