Ceramah Di Ambang Ramadan “Puasa Si Penghuni Ar-Rayyan”

SHAH ALAM, 26 Mei 2017 – Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) sentiasa subur dengan majlis-majlis ilmu dalam usaha melahirkan modal insan yang utuh dari aspek spiritual. Sempena kehadiran bulan Ramadan Al-Karim, Jabatan Hal Ehwal Agama, Puncak Niaga Management Services Sdn. Bhd (PNMSB) telah menjemput Ustaz Nazmi Abd Karim untuk menyampaikan perkongsian mengenai Ramadan di bawah tajuk, “Puasa Si Penghuni Ar-Rayyan”.

Ustaz Nazmi Karim merupakan tenaga pengajar Ma;had Tahzib Wa Ta’lim, Seksyen 13, Shah Alam berkelulusan BA (Hons) Syariah dan Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar. Beliau juga terlibat aktif dalam Muslim Care, sebuah NGO yang banyak menjalankan aktiviti kebajikan dan kemanusiaan di peringkat antarabangsa yang melibatkan umat Islam di negara-negara bergolak terutama di Syira, Palestin, Myanmar, Cambodia dan lain-lain.

Ceramah yang dihadiri oleh hampir 50 orang kakitangan muslim diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Puan Sri Faridah Idris, isteri YBhg. Tan Sri Rozali Ismail bersama-sama bonda dan cucu beliau.

Mengupas tajuk yang disediakan, Ustaz Nazmi menceritakan bahawa bila tiba Ramadan, pintu-pintu syurga dibuka luas manakala pintu-pintu neraka ditutup rapat. Sementara itu menurut beliau, Ar-Rayyan merupakan nama syurga yang dikhususkan untuk orang-orang yang berpuasa.

Seterusnya, beliau menyentuh kelebihan Ramadan yang merupakan satu-satunya bulan yang disebut dalam Al-Qur’an seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185.

Oleh itu, beliau berpendapat salah satu ciri puasa penghuni Ar-Rayyan adalah dengan cara memuliakan Al-Qur’an melalui bertadarrus, bertadabbur dan mengamalkan segala ajaran yang terkandung di dalamnya. Ustaz Nazmi turut berkongsi mengenai kaedah untuk mengenali ayat-ayat Al-Qur’an yang dikategorikan sebagai ayat-ayat Makkiyah dan Madaniyyah.

Meskipun tajuk ceramah merupakan satu perkara yang serius, Ustaz Nazmi berjaya menarik minat para kakitangan melalui pendekatan santai dan bersahaja yang diselangi oleh jenaka serta kaedah penceritaan yang mudah difahami.

Sebelum mengakhiri ceramah, Ustaz Nazmi memberikan pesanan khusus kepada kaum muslimat supaya memelihara aurat mereka kerana ia bukan sahaja dapat memelihara mereka bahkan juga orang lain terutama kaum lelaki.

Para kakitangan turut mengambil kesempatan untuk mengajukan beberapa persoalan mengenai ibadah puasa kepada Ustaz Nazmi yang kemudian dijawab dengan terperinci oleh beliau.