PEKA 1 Dekad Mencurah Bakti

Secara umumnya, Tanggungjawab Sosial Korporat merupakan kewajipan yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan sesebuah organisasi untuk kesejahteraan kakitangan atau masyarakat setempat sebagai langkah untuk meningkatkan imej dan prestasi syarikat.

Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) memberi penekanan yang tinggi kepada amalan dan usaha Tanggungjawab Sosial Korporat sejak awal penubuhannya. Sehubungan dengan itu, berkat sokongan dan aspirasi Pengerusi Eksekutif PNHB, YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, PNHB telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Persatuan Kakitangan Kumpulan Syarikat Puncak Niaga atau lebih dikenali sebagai PEKA yang bermatlamat untuk melindungi dan membela nasib kakitangan PNHB.

Ditubuhkan pada 15 September 2006, PEKA prihatin dan amat menitikberatkan kebajikan kakitangan. PEKA menjaga kebajikan kakitangan dengan menghulurkan bantuan ketika kakitangan berhadapan dengan musibah seperti kematian, kemasukan ke hospital, bencana alam, penyakit kronik dan sebagainya. Selain memberi sokongan moral dan kewangan, PEKA juga bergiat aktif dalam melaksanakan pelbagai acara seperti program kekeluargaan, keagamaan, kesukanan, rekreasi dan sosial yang mengeratkan hubungan silaturrahim diantara ahli.

PEKA sentiasa memastikan semua program yang dianjurkannya mencapai objektif yang tetapkan sejak awal penubuhannya lebih sedekad yang lalu. Antara revolusi yang jelas terlihat adalah dari segi program dan aktiviti yang dijalankan. Kini PEKA lebih rancak dengan pelaksanaan program yang lebih menarik dan juga melibatkan penyertaan barisan Pengurusan Tertinggi syarikat. Hal ini jelas menunjukkan bahawa PEKA mendapat sokongan padu dari pihak pengurusan syarikat dalam perangkaan program-program yang dilaksanakan.

Promosi tentang program PEKA juga giat dijalankan melalui pelbagai medium seperti melalui jaringan rangkaian tertutup syarikat; E-Pintas, serta medium-medium lain seperti PEKA TV, Majalah Buletin KITA dan e-mel syarikat. Aktiviti promosi seperti ini membuktikan bahawa PEKA terus memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti berkisarkan Tanggungjawab Sosial Korporat. Penyatuan yang semakin erat juga merupakan antara peningkatan yang dicapai oleh PEKA sejak penubuhannya. Walaupun ahli PEKA semakin berkurangan akibat penstrukturan semula syarikat, namun PEKA terus mendapat sambutan oleh kakitangan. Pihak pengurusan PEKA juga terus teguh berjuang untuk menghulurkan khidmat bakti dan bantuan kepada ahli.

Ibarat sebuah keluarga, PEKA komited untuk mempertingkatkan keharmonian diantara kakitangan. Menurut Pengurus PEKA, Puan Hajah Zelly Asma Hassan, PEKA menyimpan harapan untuk melangkah lebih jauh. Dalam temubual yang diadakan diantara beliau dan Sidang Redaksi Buletin KITA, Puan Hajah Zelly berharap PEKA dapat mengorak langkah untuk turut menyalurkan bantuan kepada masyarakat setempat yang memerlukan.

Beliau juga berharap agar PEKA terus mendapat sokongan dari pihak pengurusan PNHB bagi meningkatkan nilai organisasi serta mengekalkan imej baik syarikat. Pembudayaan amalan usaha Tanggungjawab Sosial Korporat dikalangan kakitangan juga adalah penting dalam melahirkan warga PNHB yang lebih penyayang, bermoral disamping melahirkan satu persekitaran kerja yang kondusif.