Puncak Niaga Positif Raih Peluang Perniagaan Dalam Sektor Air dan Kumbahan Tahun Depan

Kuala Lumpur, 20 Julai – Puncak Niaga kekal positif meraih peluang perniagaan dalam sektor air dan kumbahan apabila iklim politik dan ekonomi dijangka kembali stabil tahun hadapan.

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad, (PNHB) YBhg. Tan Sri Rozali Ismail berkata, pembekuan dan kelembapan projek pembangunan infrastruktur pada ketika ini hanyalah bersifat sementara sahaja.

“Ini berlaku kerana kerajaan yang baru mendapat mandat selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) perlu membuat beberapa penyesuaian sebelum bergerak secara total.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluannya di Majlis Silaturrahim YBhg. Tan Sri Rozali Ismail Bersama Warga Kerja Projek D44 di ibu negara.

Majlis ini antara lain diadakan bertujuan untuk YBhg. Tan Sri Rozali berkongsi aspirasi syarikat dan strategi perniagaan Puncak Niaga Construction Sdn Bhd (PNCSB) bagi tahun-tahun akan datang serta harapan beliau terhadap PNCSB untuk jangka masa panjang. Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Urusan PNHB, Dato’ Zainal Abidin Salleh, Pengarah Urusan PNCSB, Dato’ Yusof Badawi, pengurusan tertinggi PNHB dan PNCSB serta seluruh warga kerja Projek D44 termasuk perunding dan sub-sub kontraktor PNCSB.

Dalam ucapannya itu juga YBhg. Tan Sri Rozali menegaskan bahawa apa jua halangan dan masalah dalam pelaksanaan sesuatu projek itu adalah bukan sesuatu yang baru.

PNHB katanya, telah berdepan dan berjaya mengharungi pelbagai cabaran dalam setiap projek yang telah dilaksanakannya sebelum ini.

Ia sekaligus membuktikan PNHB tidak pernah gagal dalam menyiapkan setiap projek yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

YBhg. Tan Sri Rozali turut menyatakan komitmen penuh beliau dan pengurusan PNHB terhadap Projek D44 dan mengharapkan seluruh warga kerja Projek D44 dapat memberikan hasil kerja terbaik bagi menyiapkan projek berkenaan.