12 Buah Lagi Syarikat Jadi Rakan Kolaborasi PSIS Bantu Lahirkan Tenaga Kerja Mahir

Sabak Bernam, 13 Julai - Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) komited untuk menjadikan PSIS sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Salah satu pendekatan yang diambil ialah melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat dan agensi-agensi kerajaan sebagai rakan kolaborasi.

Sejak tahun 2017, sebanyak 36 buah syarikat telah menjadi rakan kolaborasi strategik PSIS.

Hari ini menyaksikan sebanyak 12 buah lagi syarikat yang akan bekerjasama dengan PSIS dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir bertaraf dunia. “Pembentukan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan kepentingan TVET dalam menyediakan bekalan tenaga buruh yang memiliki tahap kebolehpasaran yang tinggi bagi memacu pembangunan negara”, tegas YBhg. Dato’ Dr. Mohd Zainul Fithri Othman, Pengarah Eksekutif Bahagian Sumber Strategik dan Perhubungan Awam, Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB), ketika menyampaikan ucapan mewakili YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif PNHB dalam majlis tersebut.

Terlebih dahulu, Prof. Dato’ Dr. Mohd Zainul telah menyampaikan ucaptama yang menyentuh tentang pemerkasaan TVET dan cabaran yang menanti di era Revolusi Industri 4.0. Prof. Dato’ Dr. Mohd Zainul seterusnya telah menyaksikan wakil daripada 12 buah syarikat menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik PSIS.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Zainul turut menggesa mahasiswa supaya turut menguasai kemahiran insaniah (soft skill).

Ini kerana kebolehlenturan kognitif amat diperlukan apabila berhadapan dengan sebarang masalah yang kompleks di alam pekerjaan nanti.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Ismail Abd. Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan En. Ishanuddin Hussin, Pengarah PSIS.