TRIplc Bantu 80 Orang Anak Asnaf Buat Persiapan Sesi Persekolahan 2019

Subang Jaya, 19 November – Kegembiraan dan keterujaan jelas terpancar di wajah para pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3, Subang Perdana ketika membeli belah kelengkapan sesi persekolahan 2019 di Pasaraya Mydin di sini.

Seramai 80 orang pelajar sekolah yang terdiri daripada anak-anak asnaf telah terpilih untuk mengikuti program Persiapan Kembali Ke Sekolah Untuk Anak-anak Asnaf anjuran TRIplc Berhad dengan kerjasama Pasaraya Mydin.

Seawal jam 7.30 pagi, seramai 48 orang kakitangan TRIplc dan ahli-ahli Persatuan Kakitangan Kumpulan Syarikat Puncak Niaga (PEKA) telah berkumpul di SK Jalan U3, Subang Perdana untuk menjayakan program ini.

Para pelajar yang terpilih telah dibahagikan kepada Kumpulan-kumpulan kecil yang diketuai oleh kakitangan TRIplc dan ahli-ahli PEKA sebagai “keluarga angkat” untuk membantu mereka membeli belah kelengkapan persekolahan nanti.

Setibanya di Mydin Mall, USJ, Subang Jaya, para pelajar, guru-guru pengiring dan “keluarga angkat” masing-masing telah diberikan taklimat program oleh En. Taufik Afendy Othman dan kakitangan Mydin sebelum masing-masing mula membeli belah kelengkapan persekolahan termasuklah baju, seluar, tudung, kain, kasut, beg dan alat tulis.

“Setiap pelajar diperuntukkan sebanyak RM300 untuk membeli kelengkapan persekolahan. Program ini merupakan kali kedua diadakan oleh TRIplc dan kami berharap akan dapat meneruskannya di tahun-tahun akan datang. Saya juga berharap banyak lagi syarikat yang akan tampil untuk melakukan perkara yang sama kerana saya percaya, jumlah pelajar yang memerlukan bantuan sebegini lebih ramai lagi”, YBhg. Dato’ Yusof Badawi, Pengarah Urusan TRIplc dipetik berkata ketika ditemubual oleh wartawan.

Turut hadir dalam program ini ialah Pn. Hajjah Nafisah Salleh, Guru Besar SK Jalan U3, Subang Perdana dan Pn. Shamshiah Hashim @Abu Bakar, Pengarah Eksekutif Pimpinan Ehsan Berhad (PEB) yang turut membantu para pelajar membeli belah.

Sebelum bertolak ke restoran makanan segera KFC U5, Subang untuk makan tengahari, para pelajar juga telah diberikan wang saku sebanyak RM50 seorang sebagai simpanan atau kegunaan untuk membeli keperluan lain.

TRIplc Berhad telah memperuntukkan sebanyak RM32,210 untuk menjayakan program ini dan sekolah ini dipilih berdasarkan lokasi yang berdekatan dengan pejabat mereka serta memiliki ramai pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Program berakhir pada kira-kira jam 2.00 petang.