PUNCAK NIAGA AGIH 1,369 BAKUL MAKANAN KEPADA PENDUDUK KG. LIKAS, SABAH

Keprihatinan terhadap keperitan yang terpaksa ditempuhi masyarakat akibat pandemik Covid-19 merentasi sempadan dan lautan. Atas kesedaran itu, Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) telah bekerjasama dengan Kelab Komuniti Bandaraya Kota Kinabalu, UMNO Bahagian Sepanggar, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dan Kelab Amal Bakti Likas (ABL) untuk mengagihkan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas.

Pengerusi Kelab Komuniti Bandaraya Kota Kinabalu, En. Musliati Moslimin berkata, menerusi program itu, sebanyak 1,369 sumbangan berupa bakul makanan diagihkan kepada penduduk yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Untuk rekod Kg. Likas telah dikenakan PKPD bermula 10 Jun lalu dan tamat pada awal Julai lalu. Ini menyebabkan para penduduk tidak dapat keluar bekerja yang menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

Program ini telah disempurnakan Pengarah UPPM Sabah YBhg. Datuk Matbali Musah. Turut hadir ialah Penolong Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jumat Idris, Ketua Wanita UMNO Sepanggar Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Pengerusi Kelab ABL Ir. Aziz Julkarnain.

YBhg. Datuk Matbali juga menyeru agar lebih banyak syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil memberikan sokongan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan khususnya ketika pandemik COVID-19. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada badan korporat yang telah melaksanakan program CSR kepada golongan yang terkesan terutama kepada penduduk di kawasan PKPD.