AHLI JAWATANKUASA PENASIHAT INDUSTRI (IAC) PSIS KOMITED MEMBANTU PEMERKASAAN PELAJAR MEMENUHI KEHENDAK INDUSTRI

Shah Alam, 25 Ogos – YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings (PNHB) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS (IAC) telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Industri PSIS Bil. 2/2021 yang berlangsung secara dalam talian menerusi aplikasi Cisco Webax mulai jam 9:00 pagi. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh kesemua ahli IAC seramai sembilan (9) orang termasuk Ketua Pengarah PSIS, Tn. Hj. Ishanuddin Hussin dan sejumlah kakitangan pentadbiran dan akademik PSIS yang terlbat.

YBhg. Tan Sri Rozali telah mengalu-alukan kehadiran semua anggota mesyuarat dan merakamkan tahniah kepada YBhg. Datuk Samsuri Rahmat, Pengerusi YLI Holdings Berhad yang telah dilantik sebagai ahli IAC yang baharu. Beliau turut merakamkan tahniah kepada YBhg. Datuk Ruslin dan YBhg. Datuk Dr. Ts. Sivakumar yang turut dilantik sebagai CEO@PolyCC oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Ini merupakan satu detik bersejarah kepada PSIS kerana seramai tiga orang ahli IAC telah dilantik dalam penggal yang sama sebagai CEO@PolyCC.

Dalam mesyuarat ini juga, YBhg. Tan Sri telah meminta semua ahli IAC memberikan maklum balas dan pandangan mengenai prestasi pelajar PSIS yang telah menjalani Latihan industri di syarikat-syarikat mereka termasuk memberikan cadangan penambahbaikan.

Hampir kesemua ahli IAC bersetuju bahawa aspek komunikasi dan Bahasa Inggeris merupakan dua perkara utama yang perlu diberikan penekanan oleh pelajar dan juga PSIS. Mereka juga berpendapat bahawa sebahagian pelajar tidak membuat persediaan dan kajian yang sewajarnya mengenai syarikat yang terlibat sebelum menyertai Latihan industry (internship). Mereka juga memberikan pandangan mengenai silibus tertentu yang memerlukan penilaian dan penambahbaikan.

YBhg. Tan Sri Rozali turut menekankan mengenai penganjuran Webinar 2.0 yang memerlukan pendekatan dan pengisian yang berbeza supaya ia lebih mendedahkan para pelajar dengan situasi yang berlaku dalam sesebuah industri.

Mesyuarat juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan PSIS untuk menjenamakan semula Perpustakaan PSIS yang bakal dikenali sebagai Perpustakaan Tan Sri Rozali Ismail sebagai satu penghargaan di atas atas jasa beliau kepada PSIS. Untuk rekod, YBhg. Tan Sri Rozali merupakan Pengerusi IAC PSIS yang paling lama buat masa ini iaitu sejak tahun 2016.

Sebelum berakhir, YBhg. Tan Sri Rozali turut meminta Tn. Hj. Ishanuddin untuk mengemukakan permohonan menaik taraf dan menambah baik prasarana PSIS melalui IAC supaya mereka boleh membantu mempercepatkan proses melalui hubungan baik dengan para pemimpin Kerajaan.

Mesyuarat berakhir pada kira-kira jam 11:30 pagi.