SIARAN MEDIA FELDA : PENEROKA MAHUKAN PENGISIAN PERJANJIAN YANG LEBIH TERPERINCI OLEH KERAJAAN BERKENAAN DENGAN PEMANSUHAN HUTANG PENEROKA FELDA YANG BERNILAI RM 8.3BIL

Shah Alam, 23 Ogos - GABUNGAN WAWASAN GENERASI FELDA (GWGF) mengadakan Mesyuarat Khas bersama 14 NGO Gabungan di bawah GWGF bagi membincangkan secara terperinci berkenaan kandungan Perjanjian Penghapusan Pinjaman dan Pengurusan Kebun antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Peneroka yang telah diumumkan sebelum ini.

Mesyuarat Khas ini di pengerusikan oleh YBhg Tan Sri Rozali Ismail, Presiden GWGF yang merupakan anak Peneroka FELDA Gedangsa.

14 Persatuan gabungan yang akan hadir bersama GWGF ialah:

1. Persatuan Peneroka FELDA Malaysia 2. Persatuan Penerokawati FELDA Malaysia 3. Persatuan Pengamal Undang-Undang Generasi FELDA Malaysia 4. Dewan Perniagaan Generasi Baru FELDA Malaysia 5. Pertubuhan Kontraktor Generasi FELDA Malaysia 6. Pertubuhan Generasi FELDA Universiti Malaysia 7. Pertubuhan Anak-Anak Peneroka FELDA Luar Negara 8. Pertubuhan Kesenian & Kebudayaan Generasi FELDA Malaysia 9. 9. Pertubuhan Silat Generasi FELDA Malaysia 10. Pertubuhan Imam Muda FELDA Malaysia 11. Kelab Wartawan Anak-Anak FELDA Malaysia 12. Kelab Golf Generasi FELDA Malaysia 13. Kelab Storm Rider GWGF 14. Persatuan Sukan Bermotor GWGF

Pada hari ini Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) yang dianggotai oleh golongan generasi baru anak-anak dan warga peneroka serta turut dianggotai oleh 14 persatuan-persatuan gabungan ingin memberikan pandangan terhadap beberapa isu utama yang membelenggu warga Peneroka.

Isu penghapusan hutang Peneroka; Kerajaan telah bersetuju untuk menghapus kira sejumlah hutang Peneroka bagi Peneroka yang masih berhutang. Jumlah hapus kira hutang Peneroka mencapai sehingga 70% hingga 80% dan Peneroka masih diperlukan untuk membayar dan menyusun semula baki hutang kepada FELDA.

Bagi pihak GWGF kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh warga Peneroka terutama dalam menghadapi krisis kesihatan Covid-19. Setelah sekian lama masalah hutang peneroka, terutama cara pengiraan penyata hutang yang tidak diberi kepada peneroka dan jumlah hutang yang telah dibincangkan lebih dari 10 tahun diantara Peneroka dan FELDA, ia memerlukan solusi yang menyeluruh yang menguntungkan semua pihak.

Walaubagaimanapun, GWGF merasakan Perjanjian yang diberi kepada Peneroka untuk ditandatangani perlu diteliti memandangkan ia melibatkan beberapa peruntukan tertentu untuk menjamin hak dan kepentingan Peneroka dan generasi akan datang agar masalah lama tidak berulang, memandangkan:

1. Prestasi FELDA dalam pengurusan ladang tidak begitu memberangsangkan jika dibandingkan dengan Syarikat gergasi dalam bidang perladangan sawit. 2. Data-data perbelanjaan dan pendapatan yang disediakan oleh FELDA adalah menjadi masalah tradisi FELDA dengan peneroka dan menjadi isu yang dibangkit oleh Peneroka sekian lama. 3. Prestasi FGV tidak begitu memberangsangkan dan memberi gambaran yang tidak begitu baik mengenai cara pengurusan tadbir FELDA secara keseluruhan. 4. Terdapat kes-kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan Pengurusan tertinggi FELDA dan FGV. 5. Oleh itu, untuk menyakinkan Peneroka melantik FELDA sebagai Pengurus Ladang secara total tanpa syarat mungkin tidak boleh diterima pada masa ini kerana anak peneroka sekarang banyak yang berpendidikan dan profesional dan tahu selok belok pengurusan ladang, perundangan dan kewangan

FELDA juga perlu memberi jaminan dari segi prestasi dan tanda aras (benchmark) Pengurusan ladang dan hasil kilang yang mereka akan lakukan jika dilantik sebagai Pengurusan Penuh Ladang-ladang Peneroka.

Beberapa perkara juga perlu diteliti dan dibincang semula seperti laporan kewangan, Pinjaman Tanam Semula, tempoh pinjaman dan tanggungan-tanggungan FELDA, sebarang kegagalan dalam proses tanam semula, penjagaan dan hasil ke kilang.

Oleh yang demikian, GWGF mencadangkan agar pihak kerajaan melalui FELDA dapat menjemput pakar-pakar anak FELDA (Peguam dan Pengurusan) untuk berbincang memberi input menambah baik perjanjian yang sedia ada demi menjamin kepentingan Peneroka dan generasi yang dapat dijamin.

GWGF akan kemukan cadangan terperinci kepada pihak YAB Perdana Menteri Malaysia secepat mungkin.