KOLABORASI POLITEKNIK SULTAN IDRIS SHAH (PSIS) DAN KORPORAT TINGKATKAN KEBOLEHPASARAN MAHASISWA

Shah Alam, 6 Oktober – YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri Politeknik Sultan Idris Shah-PSIS (IAC) ketika merasmikan Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik PSIS Secara Dalam Talian di sini hari ini, menyatakan bahawa, kolaborasi antara PSIS dan korporat akan mampu melahirkan mahasiswa yang memiliki daya kebolehpasaran yang tinggi.

Kolaborasi antara PSIS dan sektor korporat penting untuk memastikan para mahasiswa didedahkan dengan keperluan terkini industri yang sentiasa berubah dan berkembang mengikut kemajuan teknologi dan keperluan global. Selain daripada itu, kolaborasi ini juga dapat memberikan maklum balas kepada pihak PSIS terhadap keberkesanan subjek yang diajar yang membolehkan PSIS membuat penilaian dan penambahbaikan dari masa ke semasa.

Menurut En. Ishanuddin Hussin, Pengarah PSIS, kolaborasi ini merupakan platform pertukaran ilmu dan kepakaran antara PSIS dan syarikat-syarikat korporat dengan matlamat untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah dan teknikal yang mantap serta memiliki daya kebolehpasaran yang tinggi.

YBhg. Tan Sri Rozali Ismail dalam ucapan perasmain beliau, menaruh keyakinan yang tinggi terhadap kolaborasi ini, bagi membolehkan sektor korporat dan akademik membantu antara satu sama lain. Kejayaan kolaborasi ini bergantung kepada komitmen semua pihak dan hasilnya, Malaysia akan mampu menghasilkan teknologi tempatan yang kompetitif di peringkat global sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.