PUNCAK NIAGA SUMBANG 7,500 PEK MAKANAN KEPADA MANGSA BANJIR DAN SUKARELAWAN

21 Dis. 2021 - Bencana banjir di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang baru-baru ini mengakibat ramai mangsa telah kehilangan tempat tinggal, kenderaan, harta benda bahkan turut meragut nyawa.

Musibah yang berlaku menuntut keprihatinan semua pihak untuk membantu mengikut kapasiti dan kepakaran masing-masing. Atas dasar itu, Puncak Niaga telah menggerakkan Misi Bantuan Banjir ke kawasan-kawasan yang terjejas di beberapa buah negeri terutama negeri Selangor.

Menurut Pengerusi Eksekutif PNHB, YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, misi kali ini melibatkan kumpulan sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan PNHB, Masjid Puncak Alam, Ma'ahad Tahfiz Ismail dan komuniti Bandar Puncak Alam.

Dalam misi ini, Puncak Niaga telah menyediakan 7,500 makanan secara berperingkat di kawasan-kawasan terjejas. Sehingga 25 Dis. 2021, 1,500 pek makanan telah di agihkan di negeri Selangor dan 1,000 pek di Negeri Sembilan.

Makanan akan diagihkan ke pusat-pusat pemindahan banjir melalui koordinasi dengan pihak berkuasa dan kerajaan tempatan agar agihan dapat diselaraskan bagi mengelakkan pertindanan dan pembaziran.

Penyediaan makanan di laksanakan di dapur MTI yang mempunyai tukang masak dan pembantu dapur serta kelengkapan peralatan dapur yang lengkap. Proses ini akan dibantu oleh kakitangan PNHB, MPA dan MTI serta komuniti Bandar Puncak Alam.

Usaha ini adalah bertujuan mengurangkan beban dan turut bersolidariti bersama mangsa banjir yang diuji kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

YBhg. Tan Sri Rozali Ismail memuji sikap keprihatinan rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama yang menghulur bantuan segera kepada mangsa banjir.

Menurut beliau, Puncak Niaga sentiasa bersama masyarakat Malaysia dalam menghadapi kegetiran yang melanda. Beliau turut menyeru semua pihak terutama syarikat-syarikat korporat agar membantu mangsa banjir mengikut kapasiti kemampuan masing-masing.