PENGERUSI EKSEKUTIF SAMPAIKAN 5 MESEJ PENTING SEBAGAI ASAS UTAMA PENCAPAIAN KECEMERLANGAN SYARIKAT

Shah Alam, 10 Jan – Setelah lebih dua tahun, tanpa pengendalian perhimpunan kakitangan secara fizikal akibat pandemik Covid-19, pada Isnin yang lalu, Perhimpunan Kakitangan Kumpulan Puncak Niaga (PNHB) dapat dilaksanakan dengan pematuhan SOP Covid- 19 yang ketat serta pemantauan oleh pihak Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran (HRAD).

Dalam perhimpunan tersebut, YBhg. Tan Sri Rozali Ismail telah menyampaikan lima (5) amanat penting bagi memperkemaskan strategi syarikat untuk mencapai kecemerlangan bagi tahun 2022 dan masa akan datang.

Pertama, beliau menegaskan bahawa, salah satu cara penting untuk bekerja dengan komited ialah menghargai dan menyayangi kerjaya masing-masing. Bila kita menghargai sesuatu, sudah pasti kita akan menjaganya dengan sebaik mungkin dan cuba melakukan yang terbaik untuk mengekalkannya.

Kedua, menurut YBhg. Tan Sri Rozali, Puncak Niaga telah menetapkan standard pelaksanaan kerja menyamai piawaian antarabangsa. Oleh, itu semua kakitangan perlu menyiapkan diri dengan kemahiran bersesuaian dengan jawatan masing- masing. Ini penting untuk semua kakitangan bergerak dalam satu kumpulan yang kuat demi mencapai misi dan visi syarikat.

Ketiga, untuk mencapai standard antarabangsa yang telah ditetapkan, semua kakitangan perlu bekerja secara profesional dalam semua jawatan dan peringkat. Pengerusi Eksekutif turut menggariskan ciri-ciri profesional iaitu mahir dan menguasai sepenuhnya bidang kerja masing-masing, mengikut arahan ketua jabatan atau bahagian dan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik.

Intipati keempat yang ditekan oleh YBhg. Tan Sri Rozali ialah kerjasama berpasukan (teamwork). Menurut beliau, tiada satu syarikat akan berjaya mencapai kecemerlangan jika tidak mengamalkan teamwork. Selain daripada kesatuan hati antara semua pekerja, teamwork sangat penting kerana setiap pekerja mempunyai kelebihan masing-masing dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Seterusnya perkara kelima ialah aspek disiplin. Disiplin merupakan kunci kejayaan dalam apa jua bidang sekalipun sama ada kerjaya, pelajaran mahupun kehidupan. Disiplin bukan sahaja melibatkan pelaksanaan kerja tetapi juga disiplin dalam menjaga kebersihan, tingkah laku dan pematuhan etika kerja. Hanya pekerja yang berdisiplin sahaja mampu membawa syarikat melangkah jauh ke hadapan.

Selain daripada lima mesej utama yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif, beliau juga menekan aspek pematuhan garis panduan kerja dan integriti terutamanya, tidak terlibat dengan sebarang salah laku dan melanggar undang-undang negara khususnya perbuatan rasuah, membocorkan maklumat syarikat dan gangguan seksual.

YBhg. Tan Sri Rozali Ismail turut menggesa semua kakitangan untuk menjaga nama baik syarikat yang merupakan Public Listed Company yang bertanggungjawab kepada para pemegang saham. Setiap aktiviti syarikat perlu dilaporkan diaudit oleh juruaudit luar. Oleh itu, amat penting bagi setiap kakitangan mengekalkan integriti dan memelihara imej syarikat.

Mengorak langkah ke hadapan, Pengerusi Eksekutif memaklumkan bahawa syarikat sedang giat menyusun strategi untuk memperkemaskan dan mengembangkan lagi bidang-bidang utama perniagaan syarikat iaitu air dan sisa air, perladangan dan perkhidmatan kesihatan di samping meninjau peluang perniagaan dalam industri- industri baharu.

Majlis Perhimpunan Kakitangan Kumpulan PNHB berakhir pada jam 11.00 pagi.