Perhimpunan Bulanan Kakitangan Kali Kedua 2017

Perhimpunan kakitangan kali kedua pada tahun ini telah berlangsung pada Khamis, 13 April 2017 bertempat di perkarangan Wisma Rozali, Shah Alam.

YBhg. Tan Sri Rozali dalam ucapannya telah menegaskan kepada para kakitangan untuk mematuhi serta menekankan kepentingan prosedur operasi standard PNHB (SOP) selaras dengan piawaian Syarikat Awam Berhad.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa pihak syarikat turut menyediakan sedikit peruntukan kepada Persatuan Kakitangan Kumpulan Syarikat Puncak Niaga (PEKA) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti riadah bagi menggalakkan kakitangan untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat. Di samping itu, beliau juga telah mengucapkan tahniah di atas perlantikan Ahli Jawatankuasa Persatuan Kakitangan Kumpulan Syarikat Puncak Niaga (PEKA) yang baharu diketuai oleh Encik Shahrin Abd Karim, Pengurus Kanan Jabatan Insurans sebagai Presiden PEKA bagi sesi 2017/2018.

YBhg. Tan Sri Rozali turut berkongsi sedikit sebanyak aktiviti yang bakal diadakan anjuran PEKA seperti Pertandingan Boling Peka 2017 antara Jabatan & Bahagian bagi merebut Piala YBhg. Tan Sri Rozali. Pertandingan ini bakal diadakan pada 22 April 2017, bertempat di Wangsa Bowl, One Utama, Bandar Utama.

Pada masa yang sama, majlis perlancaran Portal e-Pintas PNHB turut diadakan dan dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif PNHB. Portal e-Pintas yang telah dilancarkan oleh YBhg. Tan Sri adalah hasil cetusan idea Encik Azlan Shah, Pemangku Pengarah Urusan PNHB dengan kerjasama Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTD) dan Jabatan Perhubungan Awam (PRD). Inisiatif ini diharapkan dapat menjadi platform perkongsian maklumat terbaik syarikat bagi memaksimumkan kualiti kerja serta reputasi baik PNHB.

Contact us

Fill in the form below or give us a call and we'll contact you. We endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.