PUNCAK NIAGA TINGKATKAN KEFAHAMAN KAKITANGAN MENGENAI SISTEM PENGURUSAN ANTI RASUAH (ABMS), HAD KUASA DAN TATA KELOLA PROSES KONTRAK & PEROLEHAN

Puncak Alam, 6 Feb – Susulan daripada penganugerahan persijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada November 2023, Puncak Niaga terus mengambil langkah meningkatkan lagi kesedaran di kalangan kakitangan mengenai tadbir urus korporat dalam operasi syarikat.

Sehubungan dengan itu, satu taklimat dalaman yang bertajuk “Briefing Amended Standard Operating Procedure (SOP) for Puncak Niaga Group of Companies” telah diadakan di Auditorium Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Puncak Alam melibatkan seramai 72 orang kakitangan dari anak syarikat Kumpulan Puncak Niaga yang turut disertai oleh kakitangan Danum Sinar Sdn Bhd (DSSB) di Bintulu secara dalam talian.

Taklimat ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai dua aspek penting dalam tata kelola dan etika perniagaan Puncak Niaga iaitu Had Kuasa (LoA) dan Tata Kelola Kontrak dan Perolehan. LoA berperanan untuk memastikan proses membuat keputusan adalah seiring dengan polisi tadbir urus korporat.

Taklimat ini telah dimulakan dengan pengenalan secara ringkas sistem pengurusan anti rasuah yang disampaikan oleh Pn. Amira Abd Rahaman, Pengurus Pejabat Pengarah Urusan. ABMS merupakan satu sistem pengurusan untuk mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap potensi rasuah atau laporan rasuah sama ada dari dalaman atau luaran syarikat.

ABMS berfungsi untuk mengenal pasti potensi risiko rasuah melalui pengurusan risiko rasuah dan tata kelola pencegahan rasuah seperti ikrar integriti, konflik kepentingan dan langkah ketekunan wajar (due diligence) sebelum perlantikan kontraktor dan kakitangan yang berisiko tinggi bagi bertujuan menapis elemen amalan rasuah.

Sementara itu, Tuan Syed Badli Shah Syed Mansoor, Pengarah Eksekutif Operasi, PNHB dalam ucapan pembukaan beliau telah menegaskan kepentingan dokumen LoA yang merupakan antara dokumen tertinggi dalam PNHB. Dokumen yang telah diluluskan oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah PNHB tersebut telah melalui beberapa kali proses semakan melibatkan operasi beberapa buah anak syarikat. Menurut beliau, pelaksanaan LoA dapat mencegah penyalahgunaan kuasa pada setiap peringkat.

Pembentangan seterusnya oleh Sr. Mohd Zam Deraman, Pengurus Besar, Jabatan Perolehan dan Kontrak (CPD) ialah mengenai LoA dan tata kelola kontrak dan perolehan secara terperinci. Ia telah membuka ruang kefahaman yang lebih jelas di kalangan peserta. Program diteruskan dengan sesi soal jawab bersama panel yang telah diadakan selama 2 jam.

Kunci kepada kejayaan ABMS adalah komitmen YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif PNHB bersama Pengurusan Tertinggi syarikat yang telah meletakkan usaha tersebut sebagai top priority.

Contact us

Fill in the form below or give us a call and we'll contact you. We endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.