PENDIDIKAN BERTERUSAN JANA MODAL INSAN YANG RELEVAN DENGAN KEHENDAK PASARAN

Sabak Bernam, 4 Oktober – Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) ke-17 telah menyaksikan seramai 971 orang graduan dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Perdagangan, Jabatan Pelancongan & Hospitaliti serta Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi telah berjaya menamatkan pengajian selama tiga tahun. YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri (IAC) PSIS telah menyampaikan diploma kepada para graduan pada Sidang 1 majlis konvokesyen tersebut yang berlangsung di Dewan Seri Lang, PSIS.

YBhg. Tan Sri Rozali Ismail telah diiringi oleh Pengarah PSIS, Tn. Hj. Mohamad Yusof Sulaiman dan Ts. Nizam Mohd Nasir, Timbalan Pengarah ke pentas utama. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Hj. Samsuri Rahmat, Pengerusi YLI Holdings Berhad dan mantan Pengarah PSIS, En. Ishanuddin Hussin.

Dalam ucapan perasmian, Tan Sri Rozali telah menegaskan kepentingan pendidikan yang berterusan kerana proses pembelajaran tidak pernah ada titik penamat. Menurut beliau, berdasarkan kepada cabaran ekonomi dunia, ia memerlukan seseorang sentiasa peka dengan perubahan dan kehendak semasa. Oleh itu, para graduan yang bakal menempuh alam pekerjaan perlu terus belajar perkara yang baru sesuai dengan perubahan teknologi untuk memastikan mereka sentiasa relevan dengan kehendak pasaran.

Beliau turut menekankan beberapa kualiti yang perlu ada pada seseorang modal insan yang mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti iaitu berdaya kreatif, berinovasi dan berintegriti. Para graduan juga perlu pantas mengadaptasi kehidupan berkerjaya, seterusnya menetapkan matlamat untuk ke tahap yang lebih tinggi. Ini memerlukan tekad dan usaha yang jitu serta pembelajaran yang berterusan. Di samping itu era digital yang berubah secara drastik telah mengubah cara hidup dan bekerja manusia, yang memerlukan kita melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran baharu.

Dalam majlis konvokesyen tersebut, YBhg. Tan Sri Rozali turut menyampaikan Anugerah Tan Sri Rozali kepada graduan terbaik PSIS bagi tahun ini iaitu Cik Nur Syazwin bt Mohamed Rizal, graduan Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal. Beliau telah menerima Piala Pusingan Tan Sri Dato’ (Dr.) Rozali Ismail bersama wang tunai RM3,000 beserta sijil dan plak. Sementara itu, Cik Farah Qistina binti Azman, graduan Diploma Sains Kesetiausahaan telah menerima Anugerah Khas Kepimpinan manakala Cik Nurul Naeema binti Abdul Majid, graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik Komunikasi telah menerima Anugerah Khas Industri. Masing-masing menerima wang tunai RM2,000 beserta sijil dan plak sumbangan Puncak Niaga Holdings Berhad.

Dalam majlis yang sama, Tan Sri Rozali Ismail turut merasmikan Laman Ilmu, Perpustakaan Tan Sri Rozali Ismail. Laman Ilmu yang terletak di ruangan tengah perpustakaan diwujudkan untuk menyediakan ruangan membaca dan berdiskusi yang lebih santai. Ia juga telah digunakan secara aktif oleh para pelajar untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian selain daripada membaca dan berdiskusi. Projek Laman Ilmu ini telah menggunakan keseluruhan sumbangan Puncak Niaga sebanyak RM50,000 yang diumumkan oleh YBhg. Tan Sri Rozali dalam Majlis Perasmian Perpustakaan Tan Sri Rozali Ismail, PSIS pada 1 Jun 2022.

Puncak Niaga dan syarikat-syarikat yang berkolaborasi dengan PSIS menzahirkan komitmen untuk terus mendokong usaha PSIS dalam memartabatkan pendidikan TVET ke peringkat yang lebih tinggi. Jawatankuasa Penasihat Industri (IAC) PSIS merupakan medium antara pihak industri dan PSIS berbincang untuk mengemukakan idea penambahbaikan aspek pendidikan TVET untuk melahirkan modal insan yang memenuhi kehendak pasaran.

Contact us

Fill in the form below or give us a call and we'll contact you. We endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.