KAKITANGAN PUNCAK NIAGA IKRAR BEBAS RASUAH

Shah Alam, 22 November – Lebih 100 orang kakitangan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) hari ini, melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) diketuai oleh Pengarah Urusan, En. Azlan Shah Tan Sri Rozali. Majlis yang diadakan di Wisma Rozali tersebut telah disaksikan oleh Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Tuan Azizul bin Ahmad Sarkawi, Pengarah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tuan Azizul dan En. Azlan turut menandatangani dokumen IBR sejurus lafaz ikrar selesai dibaca.

Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Perasmian ISO 37001 : 2016 Anti-Bribery Management System (ABMS) yang mendapat kerjasama SPRM Putrajaya tersebut telah diadakan bersempena sambutan Hari Integriti Nasional 2023 yang disambut pada 5 November setiap tahun. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah barisan pengurusan tertinggi Puncak Niaga, para pegawai SPRM dan wakil-wakil kakitangan dari anak-anak syarikat.

En. Azlan dalam ucapan alu-aluannya menyatakan iltizam Puncak Niaga untuk memastikan operasi syarikat memenuhi tata kelola yang baik dan bebas rasuah. Menurut beliau, Puncak Niaga telah menambah baik usaha untuk mencapai matlamat tersebut sejak tahun 2021. Antaranya ialah sesi taklimat khas kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah mengenai Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Liabiliti Korporat) dan mewujudkan beberapa polisi seperti Kod Etika Perniagaan Puncak Niaga, Puncak Niaga’s Anti-Corruption Policy and Procedure dan Polisi Pemberian Hadiah (Gift Policy).

Sementara itu, dalam memastikan semua kakitangan memainkan peranan terutama dalam membuat aduan, Polisi Pemberi Maklumat (Whistleblowing Policy) turut diwujudkan pada November 2022. Di samping itu, program-program kesedaran kepada kakitangan mengenai jenayah rasuah turut diadakan secara berkala.

Menurut En. Azlan lagi, pada 24 Oktober yang lalu Puncak Niaga telah menerima persijilan ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ABMS) sekali gus memperkemaskan lagi usaha syarikat untuk melawan jenayah rasuah.

Majlis pada hari ini telah dimulakan dengan sesi taklimat mengenai “Tata Kelola dan Tadbir Urus Baik Dalam Perolehan” yang disampaikan oleh Penolong Pesuruhjaya Puan Tan Li Chu, Ketua Seksyen Cawangan Swasta, Bahagian Pendidikan Masyarakat, Ibu Pejabat SPRM disusuli dengan taklimat mengenai ABMS oleh Tuan Syed Badli Shah Syed Mansoor, Pengarah Urusan Puncak Niaga Construction Sdn Bhd.

Pihak SPRM turut membuka ruang pameran di lobi Wisma Rozali bagi memboleh kakitangan mendapatkan informasi berkaitan SPRM dan jenayah rasuah. Para pegawai SPRM juga turut meluangkan masa untuk memberikan penerangan dan menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh kakitangan Puncak Niaga.

Contact us

Fill in the form below or give us a call and we'll contact you. We endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.