KAKITANGAN PUNCAK NIAGA BERSOLIDARITI DENGAN RAKYAT PALESTIN, LANCAR TABUNG KEMANUSIAAN

Shah Alam, 23 November – Penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman tentera Zionis turut mendapat perhatian dan simpati kakitangan Puncak Niaga. Sebuah tabung kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin telah dilancarkan oleh En. Azlan Shah Tan Sri Rozali, Pengarah Urusan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) bagi membolehkan semua kakitangan berbilang agama dan kaum menghulurkan bantuan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Tn. Syed Badli Shah Syed Mansoor, Pengarah Urusan Puncak Niaga Construction Sdn Bhd, ketua-ketua jabatan serta wakil daripada anak-anak syarikat.

Majlis anjuran Persatuan Kakitangan Kumpulan Puncak Niaga (PEKA) dengan kerjasama Jabatan Perhubungan Awam ini dimulakan dengan sesi bacaan Yaasin yang dipimpin oleh Sheikhul Maqari Ustaz Dr. Othman bin Hamzah, Pengetua Ma’ahad Tahfiz Ismail (MTI). Ustaz Dr. Othman seterusnya menyampaikan tazkirah mengenai kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin sejak sekian lama.

Ustaz Dr. Othman mengingatkan kepada umat Islam supaya sentiasa ada usaha meski sekecil manapun untuk membantu saudara sesama Islam yang ditindas. Dalam tazkirah tersebut, Ustaz Dr. Othman turut menegaskan peri pentingnya umat Islam melengkapkan diri dengan ilmu dan mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar sebagai tunjang kekuatan kerana umat yang jahil dan lemah mudah untuk ditewaskan musuh dengan tipu daya dan muslihat.

Hampir 50 orang kakitangan Puncak Niaga yang hadir turut menunaikan solat sunat Hajat usai solat Zohor berjemaah dan membaca Doa Qunut Nazilah memohon supaya bantuan Allah Taala sentiasa bersama dengan rakyat Palestin.

Menjunjung titah DYMM Sultan Selangor, kutipan tabung kemanusiaan ini akan diselaraskan melalui Tabung Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) agar pengelolaan dana dapat dibuat dengan tersusun, telus dan bertanggungjawab.

Contact us

Fill in the form below or give us a call and we'll contact you. We endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.