PROJEK PAKEJ D44 : KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN PUNCAK NIAGA CONSTRUCTION BERI KOMITMEN BERSAMA SIAPKAN PROJEK

Kuala Lumpur, 18 Julai – YB Tn. Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (NRECC) bersama delegasi di bawah NRECC dan Puncak Niaga Construction Sdn Bhd (PNCSB) selaku kontraktor projek telah turun padang untuk melihat kerja-kerja terkini Projek Pakej D44 di Jalan Ayer Keroh, Jalan Ayer Panas dan Bunus STP.

Turut hadir ialah YB Tn. Ts Zahir Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju, YBrs. Dr. Ching Tong a/l Kim, Timbalan KSU (Air dan Pembetungan), YBrs. Tn. Hj. Abdul Rahim Wan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), En. Narendran Maniam, Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK), YBhg. Dato’ Hj. Ahmad Faizal Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), En. Azlan Shah Tan Sri Rozali, Pengarah Urusan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) dan Tn. Syed Badli Syed Mansoor, Pengarah Urusan PNCSB.

YB Menteri telah meninjau kemajuan kerja di sekitar Pasar Ayer Panas di mana beliau mendapat banyak rungutan daripada orang awam dan masyarakat yang tinggal atau berurusan di kawasan tersebut. Semasa di tapak projek, YB Menteri turut diberikan taklimat oleh pihak JPP yang merupakan agensi pelaksana projek dan PNCSB selaku kontraktor.

Semasa melawat Bunus STP, YB Tn. Nik Nazmi telah diberikan penerangan terperinci mengenai kemajuan projek termasuk faktor-faktor kelewatan serta kekangan kewangan yang dihadapi oleh pihak kontraktor. Tn. Syed Badli Syed Mansoor semasa menyampaikan taklimat menyatakan pihak kontraktor terpaksa menyuntik dana sebanyak RM164 juta setakat ini dalam usaha menyiapkan projek ini dan mengharapkan mendapat tambahan dana daripada pihak kerajaan. Menurut beliau, anggaran kos sebenar penyiapan projek ini ialah sebanyak RM646 juta di mana sebanyak RM251 juta bajet tambahan diperlukan berbanding nilai asal projek.

Beliau turut menegaskan, antara faktor utama kelewatan projek ialah profil tanah yang tidak stabil dan bebatuan yang keras, penangguhan kerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kenaikan harga barang dan kesukaran mendapat tenaga kerja luar selepas pandemik Covid-19 dan pertindihan kawasan kerja dengan pihak lain seperti Sungai Besi-Ulu Klang Elevated Highway (SUKE) dan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE). Namun begitu, pihak PNCSB tetap komited untuk menyiapkan projek ini demi keselesaan orang awam.

YB Tn. Nik Nazmi dalam sidang media menyatakan komitmen NRECC dan agensi-agensi di bawahnya iaitu JPP, IWK dan SPAN terhadap prioriti untuk menyiapkan projek ini. Beliau telah mengarahkan agar semua pihak segera berbincang untuk mencari jalan agar projek ini dapat dipercepatkan dan mampu disiapkan sebelum hujung tahun ini.

“Kita komited untuk memastikan projek ini dapat disiapkan segera dan objektif penyediaan infrastruktur pembetungan yang lebih baik, berkesan dan efisien dapat dicapai yang seterusnya dapat menyumbang dalam menjaga sumber air dan alam sekitar negara,” katanya.

“Matlamat akhirnya adalah membolehkan projek ini siap segera untuk kemudahan penduduk sebab ia tergendala begitu lama”, tambah beliau lagi.

Projek yang dimulakan pada Februari 2014 ini sepatutnya siap pada Februari 2018, namun begitu pihak PNCSB telah mendapat beberapa kali lanjutan akibat beberapa faktor luar jangka dan dijangka siap pada November tahun ini.

Contact us

Fill in the form below or give us a call and we'll contact you. We endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.