Jabatan Perhubungan Awam, Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran serta Jawatankuasa Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) dengan kerjasama National Kidney Foundation (NKF) telah menganjurkan Program Seminar dan Pemeriksaan Kesihatan 2017 pada hari Khamis, 11 Mei 2017 yang lalu. Program ini telah diadakan di Bilik Latihan dan Lobi Utama Wisma Rozali, Shah Alam dari 09.00 pagi sehingga 03.30 petang.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Zainul Fithri Othman, Pengarah Eksekutif, Jabatan Perhubungan Awam & Sumber Strategik PNHB dalam sebuah majlis yang serba ringkas sebelum bermulanya sesi pertama Seminar Kesihatan yang disampaikan oleh wakil dari NKF. Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran warga kerja PNHB tentang penjagaan kesihatan yang efektif seterusnya mewujudkan persekitaran kerja yang sihat.
Pihak NKF telah mengadakan dua sesi Seminar Kesihatan yang bertajuk “Penyakit Buah Pinggang, Derma Organ, Kolestrol, Tekanan Darah & Diabetes”. Para kakitangan juga berpeluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma serta mendapat khidmat nasihat kesihatan dari wakil NKF yang bertauliah di lobi utama Wisma Rozali. Antara pemeriksaan yang dijalankan adalah pemeriksaan berat badan, tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan kolestrol.
Menurut statistik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tahap kesihatan rakyat Malaysia berada pada tahap yang amat membimbangkan. Masalah berat badan dan obesiti terus meningkat dan menjadi salah satu penyumbang utama penyakit tiga serangkai yang merangkumi penyakit jantung, darah tinggi dan diabetes.
Sehubungan dengan itu, program ini diharapkan dapat mendidik dan menyemai amalan gaya hidup sihat dikalangan warga kerja PNHB. Tenaga pekerja yang sihat adalah aset kepada syarikat. Tenaga kerja yang sihat mempunyai daya produktif yang tinggi dan memainkan peranan dalam peningkatan prestasi syarikat.
Semoga warga PNHB mendapat manfaat daripada penganjuran program ini dalam usaha pihak syarikat untuk melahirkan tenaga pekerja yang produktif, inovatif dan berprestasi tinggi. Pemeriksaan Kesihatan yang dijalankan juga diharapkan dapat memberi faedah yang sebaiknya dan memberi peluang bagi para kakitangan untuk meneliti dan mengawalselia tahap kesihatan masing-masing.