Kakitangan TRIplc Selami Kehidupan Asnaf Melalui ZIKRA LZS

Kuala Langat, 26 September – Seramai 15 orang kakitangan TRIplc yang diketuai oleh En. Taufik Afendy Othman, Pengurus Besar Bahagian Sumber Manusia telah berpeluang menyelami kehidupan asnaf zakat di beberapa buah tempat di daerah Kuala Langat melalui program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf (ZIKRA) Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Dalam program ini, TRIplc yang merupakan salah sebuah syarikat yang menyumbang dalam Kasihku Zakat Selangor bersama 19 buah lagi syarikat telah berpeluang menyelami kehidupan asnaf zakat yang terdiri daripada nelayan, penternak dan juga orang Asli.

Turut hadir dalam program ini ialah En. Abdul Basith Abdul Hamid, Officer In Charge LZS, En. Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Ketua Divisyen Kutipan LZS dan YBhg. Dato’ Sri Alif Syukri, Pengasas D’Herbs Healthy Sdn. Bhd.

Selain daripada TRIplc, antara syarikat-syarikat lain yang turut terlibat dalam program ini ialah D’Herbs Healthy Sdn. Bhd, Gerbang Alaf Restoran (McDonald), Siti Khadijah Holdings (Telekung Siti Khadijah) dan Universiti Nottingham.

Aktiviti pertama ZIKRA bermula di Jeti Klanang, di mana En. Taufik yang mewakili TRIplc telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM6,200 yang berupa token kepada asnaf nelayan yang diterima oleh En. Abdul Basith Abdul Hamid untuk diagihkan kepada asnaf zakat nelayan di kawasan tersebut.

Seterusnya sebahagian daripada kakitangan TRIplc dan wakil-wakil daripada 19 buah syarikat yang lain dan wakil-wakil media telah dibawa “turun ke laut” untuk melihat dengan lebih dekat kehidupan golongan nelayan, manakala sebahagian yang lain telah menziarahi asnaf zakat penternak di kampung tersebut.

Dalam program seterusnya di Masjid Kg. Kelanang, wakil-wakil syarikat telah berpeluang menyantuni golongan asnaf fakir miskin dan mengagihkan bantuan yang berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, tepung dan lain-lain.

Destinasi terakhir program ZIKRA kali ini ialah di Kg. Kepau Laut, Pulau Carey, di mana wakil-wakil syarikat telah berpeluang menyantuni orang Asli suku Mah Meri yang telah memeluk Islam.

Program berakhir pada jam 5.00 petang.

Contact us

Fill in the form below or give us a call and we'll contact you. We endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.