Peruntukan Tanah 3 Ekar Bagi Kompleks Sukan di Puncak Alam

Puncak Alam, 17 Julai – Menyedari keperluan penduduk Bandar Puncak Alam yang kritikal terhadap fasiliti sukan, YBhg. Tan Sri Rozali, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) telah bermurah hati untuk memperuntukkan tanah seluas tiga ekar yang bernilai lebih RM7 juta bagi tujuan pembinaan kompleks sukan. Beliau berharap thank agar pihak Kerajaan dapat membangunkan sebuah kompleks sukan bagi kegunaan masyarakat setempat dalam masa terdekat.

Tan Sri Rozali juga berharap pihak Kerajaan memberikan prioriti untuk menyediakan fasiliti-fasiliti asas di Bandar Puncak Alam seperti balai polis, balai bomba dan klinik kesihatan bagi menampung keperluan penduduk di sini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Masjid Puncak Alam (MPA) berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran SUKAF 2022. Turut hadir ialah Tn. Hj. Mohd Hanif Md Sultan, Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam (4PA) merangkap Penasihat SUKAF dan En. Noorazam Alias, Pengarah SUKAF 2022 serta Ustaz Muhammad Mukrim Mustafa Shukri, Nazir Masjid Puncak Alam.

Dalam ucapan beliau, YBhg. Tan Sri Rozali telah menegaskan kepentingan aktiviti kesukanan yang berperanan sebagai medium penyatuan dalam masyarakat. Namun begitu, kekurangan fasiliti riadah seperti ketiadaan kemudahan padang dan kompleks sukan menjadi kekangan kepada penduduk Bandar Puncak Alam.

Majlis yang bermula pada 8:30 pagi dimulakan dengan perarakan masuk tujuh kontinjen yang bertanding iaitu Kontinjen Fasa 1, Kontinjen Fasa 2, Kontinjen Fasa 3, Kontinjen Apartment Warna Alam, Kontinjen Sinar Alam, Kontinjen Puncak Bestari dan Kontinjen Alam Suria. Ia disusuli dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh Pengarah SUKAF 2022 dan persembahan oleh setiap kontinjen.

Bagi tahun ini, Kontinjen Fasa 2 telah menyandang tempat pertama bagi kategori kontinjen terbaik diikuti oleh Kontinjen Fasa 1 di tempat kedua dan Kontinjen Sinar Alam di tempat ketiga.

Selain daripada persembahan daripada kontinjen, majlis turut dimeriahi dengan persembahan silat dan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah yang menarik seperti basikal, LCD TV, hamper dan baucar petrol.

Bagi SUKAF 2022, terdapat lapan jenis sukan yang pertandingkan iaitu futsal, sepak takraw, bola tampar, bola jarring, badminton, ping pong, bowling dan karom. Karnival sukan ini telah bermula pada bulan ini dan akan berakhir pada Oktober depan. Pemilihan acara sukan yang pelbagai telah membolehkan penglibatan daripada semua golongan masyarakat.

Dalam majlis yang sama YBhg. Tan Sri Rozali turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada dua orang mangsa kebakaran di Puncak Alam baru-baru ini. Sumbangan tersebut merupakan derma daripada orang ramai melalui tabung yang diletakkan di Masjid Puncak Alam. Atas keprihatinan YBhg. Tan Sri Rozali, salah seorang mangsa kebakaran telah ditempatkan buat sementara waktu di salah sebuah rumah beliau di Puncak Alam.

Contact us

Fill in the form below or give us a call and we'll contact you. We endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.