Pertandingan Pencarian Bakat Pengacara Majlis PNHB

Tanggungjawab sebagai seorang pengacara majlis bukan suatu tugas yang mudah. Pengacara majlis boleh dikatakan sebagai nadi kelangsungan sesuatu majlis dan memainkan peranan yang penting dalam menjamin kelancaran program.

Sehubungan dengan itu, Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) telah mengadakan Pertandingan Pencarian Bakat Pengacara Majlis pada hari Khamis, 20 April 2017 yang lalu. Program ini dianjurkan berkat kerjasama Jabatan Perhubungan Awam (PRD), Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran (HRAD) dan Persatuan Kakitangan Kumpulan Puncak Niaga (PEKA) dengan matlamat untuk menggilap bakat terpendam kakitangan dalam bidang pengacaraan.

Pertandingan tersebut disambut baik oleh para kakitangan dan sememangnya merupakan pertandingan yang rancak lagi sengit. Program ini telah diserikan oleh Encik Danny Ng Wah Tar, Pengarah Eksekutif Bahagian Kewangan Korporat PNHB selaku tetamu kehormat. Panel juri terdiri daripada Puan Faridatulzakiah Mohd Bakhry, Pengarah Eksekutif Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran, Madam Tan Bee Lian, Pengarah Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Korporat serta juri jemputan Tuan Haji Omar Arif dari Busana Timoer yang merupakan juru acara dan pengacara yang berpengalaman.

Para finalis perlu mempersembahkan bakat pengacaraan mereka dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menggunakan skrip karangan mereka sendiri dalam masa 6 minit. Mereka juga diberi kejutan untuk menjawab satu soalan IQ dari pihak juri.

Wan Syafiqah Wan Badaruddin, Setiausaha Eksekutif dari Jabatan Tugas-Tugas Khas, Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) telah dinobatkan sebagai juara menewaskan sembilan peserta lain dalam program yang julung-julung kalinya diadakan dalam sejarah penubuhan PNHB. Gadis kecil molek ini telah memukau para penonton dan juri dengan kepetahan serta kebolehan beliau dalam mengendalikan tugas sebagai pengacara majlis. Naib juara jatuh kepada Mohd Rafidi Ridzwan, Kerani Kanan, Jabatan Pengurusan Hartanah PNHB dan tempat ketiga jatuh kepada Muhammad Alisam Ismail, Eksekutif Kanan Jabatan Perhubungan Awam PNHB.

Pertandingan ini memberi peluang kepada kakitangan PNHB untuk menunjukkan bakat mereka dalam mengacarakan majlis dan dapat menjadi platform untuk pihak syarikat bagi melahirkan kakitangan yang berkebolehan, berpengetahuan dan dapat mengendalikan pelbagai tugasan.

Contact us

Fill in the form below or give us a call and we'll contact you. We endeavour to answer all enquiries within 24 hours on business days.