Kuala Lumpur, 2 May 2019 – Safety and health requires on-going commitment and diligence.
Sabak Bernam, 25 September – Bangkit dari kegagalan dengan berkat kegigihan dan doa ibu bapa, saudara Hasif Saad Shamsudin, pemegang Diploma Kejuruteraan Awam dengan CGPA 3.52 telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Tan Sri Rozali sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) ke-13 yang bersidang selama tiga hari di sini.
Sementara itu, saudara Muhammad Hasbul Arman Azhar daripada Diploma Kejuruteraan Elektronik Komunikasi pula telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Industri.
Masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM2,000 setiap seorang bersama piala iringan yang disumbangkan oleh Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB).
Dalam sidang pertama, YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif PNHB merangkap Pengerusi Penasihat Industri PSIS telah menyampaikan diploma kepada 335 orang graduan dari Jabatan Kejuruteraan Awam.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah En. Ishanuddin Hussin, Pengarah PSIS, Pn. Wan Yasima Mohamad Amin, Timbalan Pengarah Akademik PSIS dan En. Zulkifli Mat Nasir, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSIS.
“Kita tidak mahu sekadar melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang teknikal masing-masing, bahkan lebih penting daripada itu, mereka mesti memiliki kemahiran menyelesaikan masalah, berdaya tahan, fleksibel, kritis dan kreatif apabila berdepan cabaran di alam pekerjaan,” kata YBhg. Tan Sri Rozali Ismail dalam ucapannya di sidang pertama konvokesyen tersebut.
Sementara itu, sidang kedua dan ketiga majlis konvokesyen ini yang berlangsung pada 26 dan 27 September masing-masing telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Pn. Zainab Ahmad, Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Majlis yang bermula pada jam 9.00 pagi berakhir selepas jamuan makan tengahari pada kira-kira jam 1.00 petang.